LANGKAWI – Tiga lokasi di negara ini diterima sebagai Tapak Warisan ASEAN (AHP) sempena Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Alam Sekitar ASEAN ke-36 (ASOEN-36) yang berlangsung di sini selama empat hari bermula semalam.
Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Dr. Ching Thoo berkata, tiga lokasi tersebut adalah sebahagian daripada enam lokasi yang mendapat pengiktirafan tersebut.
“Rezab Hidupan Liar Tengku Hassanal, Pahang; Taman Negara Bako dan Taman Negara Bukit Lambir, Sarawak telah dicadangkan sebagai Tapak Warisan ASEAN dan diterima oleh ahli mesyuarat.
“Selain itu, ada juga tiga tapak baharu yang dicadang dan telah diterima di Vietnam iaitu Xuan Thuy National Park, Pu Mat National Park dan Dong Nai Culture and Nature Reserve,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Pembukaan ASOEN di Jalan Pantai Tengah, di sini hari ini.
Menurutnya lagi, Taman Negara Maludam Sarawak juga diangkat sebagai tapak perintis bagi Program Pelihara dan Pulihara Tanah Paya dan Tanah Gambut di Asean (Encore Wetlands) selain Agusan Marsh Wildlife Sanctuary di Filipina.. – KOSMO! ONLINE