PETALING JAYA – Tindakan kurang bijak seorang individu mengisi diesel bagi kenderaan pacuan empat rodanya sehingga melimpah mendapat kecaman hebat daripada pengguna media sosial.
Menerusi video yang dimuat naik @faizalothman44 di TikTok, difahamkan lelaki tersebut tersalah mengisi petrol.
Disebabkan mahu mengeluarkan semula petrol bagi mengelakkan kerosakan, lelaki itu bertindak mengisi diesel sehingga melimpah keluar.
Tindakan itu sekali gus mengundang bahaya kepada individu di sekeliling kerana berpotensi berlakunya kebakaran.
“Minyak diesel diisi penuh melimpah untuk cuci tangki yang terisi petrol untuk elak daripada enjin rosak dan keluar modal tinggi.
“Tetapi membahayakan kawasan dan ke mana sahaja diesel mengalir jika ada orang tidak tahu buang puntung rokok, habis terbakar ,” tulis pengguna itu di ruangan kapsyen.
Sehingga kini video tersebut mendapat lebih 1.1 juta tontonan, 21,100 tanda suka dan 3,996 perkongsian.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang mengecam tindakan lelaki tersebut yang dianggap tidak mempedulikan keselamatan dan nyawa orang sekeliling.
“Tak hilang juga petrol tu. Duit habis bayar minyak. Kerja sia-sia dan membahayakan orang lain,” komen Fitri.
“Beli kereta mahal boleh, panggil orang bengkel tak boleh. Panggil orang bengkel, selesai masalah daripada buat benda sia-sia,” komen Helmi.
“Nak tanya lepas dah buat macam tu cuci balik tak stesen pam? Ni bukannya rumah kau nak tumpah-tumpah minyak macam tu,” komen Aaron pula. – KOSMO! ONLINE
@faizalothman44 Minyak diesel di isi penuh melimpah untuk cuci tangki yg terisi petrol untuk elak dri enjin rosak dan keluar modal tinggi.. tetapi membahayakan kawasan tu dan kemana saja minyak diesel mengalir jika ada orang tak tau buang rokok.. habis terbakar semua yg ada.. #pdrn #ambiltindakankerasss ♬ original sound – FAIZALOTHMAN®️🇲🇾