PUTRAJAYA- Modus operandi sebuah sindiket menjalankan aktiviti pengurup wang tidak berlesen di sebuah kondominium mewah di sini dengan mensasarkan warga Bangladesh di sekitar Lembah Klang tumpas apabila diserbu Jabatan Imigresen dalam satu operasi khas semalam.
Menerusi operasi khas yang dijalankan di empat lokasi berbeza di sekitar Putrajaya, imigresen berjaya menahan seorang lelaki warga Bangladesh yang dipercayai sebagai dalang utama selain lima warganegara sama yang merupakan pelanggan perkhidmatan itu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kesemua ditahan berusia lingkungan 26 hingga 48 tahun.
“Semakan awal mendapati seorang lelaki Bangladesh yang ditahan memiliki Pas Penggajian, manakala lima lelaki lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas sah untuk berada di negara ini.
“Pasukan operasi telah menyita wang tunai berjumlah RM1.2 juta yang disyaki hasil daripada aktiviti pengurup wang tidak berlesen, buku catatan urusniaga dan dua unit telefon bimbit.
“Turut di sita sebuah kenderaan jenis Perodua Alza yang digunakan oleh sindiket ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, aktiviti ini dipercayai telah beroperasi selama setahun.
“Seorang lelaki Bangladesh ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63, manakala lima yang lain disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek.6(3) Akta Imigresen 1959/63.
“Seorang perempuan warga tempatan dan dua orang lelaki warga Bangladesh diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.
“Imigresen akan terus bertindak tegas tanpa kompromi terhadap pelanggaran undang-
undang adalah selaras dengan prinsip Madani mengutamakan integriti, keadilan dan ketenteraman awam,” katanya. – KOSMO! ONLINE