fbpx
KECEDERAAN dialami Afifuddin Razali menyebabkan skuad kuadran negara kempunan ke final Piala Raja Thai kelmarin.

PSM tegur penganjuran Piala Raja Thai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUSUNAN jadual perlawanan yang terlalu padat dan tidak teratur pada Kejohanan Piala Raja Thai 2025 kini memasuki edisi ke-38 mengundang rasa kecewa Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

Presiden PSM, Datuk Mohd. Sumali Reduan berkata, jumlah perlawanan yang terlalu banyak dalam tempoh sehari menyebabkan pemain-pemain tidak mendapat rehat mencukupi selain terdedah untuk mengalami kecederaan.

Jelasnya, ada perlawanan yang berlangsung sehingga lewat malam dan menyebabkan seorang pemain negara mengalami kecederaan, sekali gus tidak dapat beraksi membantu pasukan sehingga tamat saingan.

“Tahniah kepada Istaf (Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa) atas penganjuran Piala Raja Thai ke-38. Bagaimanapun, saya ingin meluahkan pandangan peribadi serta kekecewaan atas jadual perlawanan yang padat dan tidak munasabah.

“Ia memberi kesan kepada kualiti serta prestasi pemain. Sebagai contoh, kuadran lelaki dan campuran terpaksa bermain tiga perlawanan sehari dengan rehat yang singkat sehingga tengah malam.

“Hasilnya, seorang pemain utama Malaysia cedera pada hari pertama kejohanan dan tidak bermain sehingga tamat kejohanan. Pemain-pemain menghadapi keletihan yang melampau,” katanya.

Lebih mengejutkan, ada perlawanan melibatkan skuad negara berlangsung hingga ke awal pagi sehingga menyebabkan pasukan-pasukan meminta beberapa perlawanan ditunda ke hari lain.

Tambah Sumali, had 12 pemain setiap pasukan juga menjejaskan prestasi serta kemampuan pasukan, terutamanya dalam saingan yang melibatkan acara berpasukan.

“Perlu diingat kita sudah merancang dan melakukan persiapan untuk kejohanan antarabangsa. Sudah tentu sangat kecewa apabila jadual perlawanan tidak teratur dan terlalu padat.

“Saya harap tidak berlaku lagi keadaan seperti ini pada masa akan datang kerana kita perlu menjaga standard kejohanan antarabangsa supaya lebih dihormati dan disegani,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI