PETALING JAYA – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan melaksanakan kerja-kerja naik taraf sistem semboyan di Laluan Kelana Jaya secara berperingkat dari 9 Ogos hingga 22 November 2025 melibatkan Fasa 2 dan Fasa 3.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Strategi dan Pembangunan) Prasarana, Dr. Prodyut Dutt. berkata, naik taraf itu merupakan sebahagian daripada penyelesaian jangka panjang susulan gangguan berskala besar yang berlaku pada November 2022.
Beliau berkata, Prasarana kini beralih kepada sistem semboyan SelTrac ™ Generasi 8, yang menawarkan teknologi terkini termasuk analisis data masa nyata, keselamatan siber yang lebih baik dan kestabilan komunikasi yang lebih tinggi.
“Memandangkan bahawa sistem ini telah diimplementasi pada tahun 1998 jadi sudah lebih daripada 25 tahun, justeru itu sudah tiba masanya untuk penambahbaikan.
“Sistem baharu ini dijangka memanjangkan jangka hayat sistem semboyan sedia ada sehingga 20 tahun,” katanya ketika sidang akhbar pengumuman kerja-kerja penaiktarafan sistem semboyan laluan Kelana Jaya di Menara Prasarana, di sini hari ini.
Prodyut berkata, peningkatan sistem itu adalah sebahagian daripada pelan perniagaan Prasarana yang sudah dirancang lebih awal bagi menaik taraf mengikut ketetapan masa yang sesuai.
“Bagi aspek keselamatan siber pula, sistem operasi (OT) kenderaan kami menggunakan kaedah air gap yang tidak disambungkan ke internet.
“Oleh itu, risiko serangan siber terhadap sistem ini adalah sangat minimum. Namun begitu, kami tetap melaksanakan langkah-langkah keselamatan awal untuk mengurangkan sebarang kemungkinan terhadap ancaman,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Rapid Rail Sdn. Bhd., Nor Azmi Mohd Yusof berkata, kerja menaik taraf itu akan dilaksanakan secara berperingkat pada hujung minggu terpilih untuk mengurangkan gangguan kepada pengguna.
“Terdahulu, pelaksanaan Fasa 1 pada 14 Jun hingga 19 Julai lalu telah dilakukan pada waktu malam kerana kawasan terlibat adalah sekitar depoh dan tidak melibatkan laluan utama operasi tren.
“Bagi Fasa Kedua, tarikh-tarikh yang terlibat ialah 9 Ogos, 10 Ogos, 16 Ogos, 17 Ogos dan 23 Ogos, diikuti 5 September, 6 September, 7 September dan 14 September,” katanya.
Katanya, sebanyak 10 stesen yang terjejas merangkumi KLCC, Ampang Park, Damai, Dato’ Keramat, Jelatek, Setiawangsa, Sri Rampai, Wangsa Maju, Taman Melati dan Gombak.
“Sementara itu, Fasa Ketiga akan berlangsung pada 11 Oktober, 12 Oktober, 18 Oktober dan 19 Oktober serta 1 November, 15 November, 16 November dan 22 November.
“Bagi fasa ini pula sebanyak 17 stesen yang terlibat dalam fasa ini termasuk Lembah Subang, Kelana Jaya, Taman Bahagia, Taman Paramount, Asia Jaya, Taman Jaya, Universiti, Kerinchi, Abdullah Hukum, Bangsar, KL Sentral, Pasar Seni, Masjid Jamek, Dang Wangi, Kampung Baru, KLCC dan Ampang Park,” katanya.
Bagi meminimumkan kesan kepada pengguna yang memulakan perjalanan awal pagi, perkhidmatan bas dan van perantara percuma akan disediakan bermula pukul 6.00 pagi hingga 9.00 pagi bagi menghubungkan semua stesen yang terlibat.
Katanya, perkhidmatan ini akan beroperasi dengan kekerapan antara 10 hingga 15 minit bagi bas tertakluk kepada keadaan trafik semasa dan mengikut permintaan bagi van.
“Bagi Fasa Kedua, tiga laluan perantara akan diaktifkan dengan sebanyak lima buah van perantara (Van 1), 13 buah bas perantara biasa (Bas 2) dan lima buah bas perantara terhad (Bas 3)di sediakan kepada penumpang.
“Van 1 akan menghubungkan Kampung Baru ke KLCC dan Bas 2 merangkumi laluan dari Dang Wangi melalui stesen-stesen pertengahan seperti Kampung Baru, KLCC, Ampang Park Damai, Dato’ Keramat, Jelatek, Setiawangsa, Sri Rampai, Wangsa Maju Taman Melati dan Gombak.
“Bas 3 pula akan berhenti pada stesen terpilih iaitu Dang Wangi, KLCC, Ampang Park, Setiawangsa, Sri Rampai dan Wangsa Maju,” katanya.
Selain itu, bagi Fasa Ketiga pula sebanyak dua laluan perantara akan diaktifkan dengan 60 bas perantara (Bas 2) dan lima buah van perantara (Van 1) di sediakan.
“Bagi Van 1 dari Kampung Baru ke KLCC dan Bas 2 pula melalui stesen-stesen dari Ara Damansara ke Damai,” ujarnya.
Sepanjang tempoh ini, mesin tiket automatik (TVM) akan ditutup sementara sehingga pukul 8.45 pagi di semua laluan.
“Penumpang dinasihatkan mendapatkan tiket secara manual di kaunter khidmat pelanggan dan mendapatkan maklumat lanjut daripada petugas Rapid KL,” katanya. – KOSMO! ONLINE