KUALA TERENGGANU – Hasrat seorang pegawai bank untuk membeli trak pikap jenis Toyota Hilux terpakai bukan sahaja tidak kesampaian, malah kerugian RM241,700 akibat terperdaya bagi urusan penjualan dalam talian yang tidak wujud.
Lelaki berusia 52 tahun dan berasal dari Durian Burung, di sini membuat laporan mengenai kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada pukul 9.37 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pegawai bank itu tertarik dengan iklan sebuah syarikat menjual kenderaan terpakai yang dilihatnya di Facebook pada 4 Julai lalu.
“Mangsa yang berminat mahu membeli trak pikap Toyota Hilux 2.4 Auto keluaran tahun 2017 kemudian menekan pautan yang diberikan.
“Dia kemudiannya berhubung dengan wakil syarikat kononnya berpangkalan di Pelabuhan Klang, Selangor,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Azli berkata, lelaki itu menyerahkan salinan kad pengenalan kepada suspek bagi urusan pembelian tersebut.
Beliau berkata, mangsa membuat pembayaran keseluruhan RM241,700 secara berperingkat menerusi 40 transaksi ke dalam 18 akaun bank sejak 9 hingga 21 Julai lalu.
“Bagaimanapun, mangsa mula curiga apabila diminta membuat pembayaran tambahan sebanyak RM31,000 kononnya bagi urusan dokumentasi dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE