PETALING JAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini memfailkan Notis Rayuan bagi merayu terhadap hukuman yang dijatuhkan ke atas pempengaruh permotoran, Tengku Nizarudin Tengku Zainudin dan adiknya, Tengku Abdul Aziz Tengku Zainudin.
AGC dalam kenyataan berkata, ia selepas merujuk kepada keputusan Mahkamah Majistret Muar 1 pada 25 Julai lalu yang telah menjatuhkan hukuman penjara satu bulan dari tarikh sabitan 25 Julai serta denda sebanyak RM1,500.
Jelasnya, jika gagal membayar denda, tiga bulan penjara terhadap kedua-dua pesalah berkenaan.
“Setelah meneliti dan mempertimbangkan keputusan Mahkamah Majistret Muar 1 tersebut, jabatan ini telah memfailkan Notis Rayuan pada hari ini.
“(Ia) bagi merayu terhadap hukuman yang dijatuhkan ke atas kedua-dua pesalah tersebut,” katanya hari ini.
Jumaat lalu, Kosmo! melaporkan, Ija Nizaruddin atau nama sebenarnya, Tengku Nizaruddin, 38, dan adiknya, Tengku Abd Aziz, 30, dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Muar selepas mengaku salah membuat laporan palsu dan bersubahat berhubung kehilangannya di Sungai Tui, Bukit Kepong, 14 Julai lalu.
Majistret Suzana Mokhtar membuat keputusan itu selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.
Kedua-dua tertuduh membayar denda yang ditetapkan mahkamah.
Terdahulu, misteri kehilangan Ija Nizaruddin Tengku Zainudin akhirnya terjawab apabila dia dikatakan melarikan diri ke negara jiran. – KOSMO! ONLINE