RAUB – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa parti itu tidak menyokong sebarang bentuk penyertaan ahli parti itu dalam Himpunan ‘Turun Anwar’ yang berlangsung semalam di Dataran Merdeka.
Beliau berkata, kehadiran segelintir ahli UMNO dalam perhimpunan tersebut bukanlah mewakili pendirian rasmi parti, sebaliknya akan disiasat secara dalaman.
“Saya ingin lihat dahulu siapa yang hadir. Saya dan pasukan saya akan bertanya, kenapa mereka hadir. Jadi kita nak bertanya apa sebab keberadaan mereka di sana,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Raub di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.
Menurutnya, UMNO sebagai komponen Kerajaan Perpaduan berpegang teguh kepada prinsip menyokong dan mengukuhkan Kerajaan Madani yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Pendirian kepimpinan UMNO kita tidak menyokong perhimpunan seperti itu sebab kita berada di dalam Kerajaan Madani. Sekarang ini kita harus mengukuhkan bukan meruntuh kerajaan yang ada,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE