PETALING JAYA – Pelakon popular, Nelydia Senrose kini bergelar Datin selepas suaminya, Hafez Halimi dianugerahkan darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Keputeraan Ke-66 Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni AlMarhum Sultan Haji Ahmad Shah di Istana Abdul Aziz, Kuantan, semalam.
Berita gembira itu dikongsikan Nelydia atau nama lengkapnya Nik Zaris Nelydia Nik Sen, 31, dalam akaun Instagram.
Nelydia mengulang siar hantaran Instagram Story jurusolek, Rozlan Nasir yang menata rias wajahnya sempena hari penganugerahan itu.
“Tahniah Datin Nelydia Senrose Dan suami. Alhamdulillah syukur. Terima kasih kerana memilih saya,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Sementara itu, netizen dilihat memuji penampilan Nelydia yang jelita memakai busana tradisional, baju kurung lengkap dengan hijab.
“Masya-Allah cantiknya. Alhamdulillah. Tahniah Datin dan Datuk. Bila keluarga selalu dalam keberkatan, rezeki sentiasa datang,” komen netizen.
Penampilan Nelydia kerap menjadi perdebatan netizen selepas dia dikatakan tidak lagi bertudung biarpun sudah menunaikan haji dan berstatus hajah.
Pelakon drama Seindah Hujan Cinta itu juga dikecam hebat selepas tular video yang memaparkan dirinya memeluk seorang pelakon lelaki ketika menaiki kereta kabel di Pulau Langkawi baru-baru ini.
Selain Nelydia, kakak kepada usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri iaitu Yatie Kamarzaman juga turut bergelar Datin selepas suaminya, Mohamad Zaidi Aziz dianugerahkan darjah kebesaran yang sama. – KOSMO! ONLINE