fbpx
Barangan yang dirampas selepas lima ejen along ditahan dalam dua serbuan di Kota Bharu baru-baru ini. FOTO IHSAN POLIS

Lima ejen along simbah cat merah, ancam peminjam dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Lima ejen pinjaman wang tanpa lesen atau along dicekup selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan khianat berkaitan pinjaman wang di sekitar Kota Bharu, pada minggu ini.

Kesemua lelaki berusia 25 hingga 39 tahun itu ditahan dalam dua siri serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu menerusi Op Vulture pada 23 dan 25 Julai lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, siasatan awal mendapati, kelima-lima supek dipercayai terlibat dalam aktiviti khianat berkaitan pinjaman wang
haram.

Menurutnya, mereka disyaki menyimbah cat merah pada rumah mangsa, menampal nota ugutan, memecahkan cermin tingkap dengan batu selain mengunci pagar rumah peminjam sebagai bentuk tekanan dan ancaman.

“Suspek pertama ditahan pada 23 Julai lalu semasa serbuan di kawasan Pasir Tumboh di sini. Empat lagi lelaki diberkas dalam serbuan susulan melibatkan kejadian simbah cat di kawasan Pasir Hor dua hari kemudian.

“Sebanyak 34 barangan termasuk cat merah, pen, kertas nota ugutan, pakaian, pelitup muka, telefon bimbit dan motosikal yang dipercayai digunakan dirampas dalam kedua-dua serbuan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Yusoff memberitahu, siasatan awal mendapati, kesemua suspek disyaki terlibat sekurang-kurangnya sembilan kes khianat harta benda di sekitar daerah ini, Tumpat dan Tanah Merah.

Menurutnya, tindakan tersebut tetap merupakan satu kesalahan jenayah meskipun kelima-lima suspek dipercayai mengambil upah untuk kerja-kerja khianat itu.

“Sebarang urusan kewangan harus dilakukan melalui institusi perbankan atau pemberi pinjaman wang yang berlesen dan berdaftar,” ujarnya.

Beliau berkata, kelima-lima suspek sudah ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dan Seksyen 427/506 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI