fbpx
SKUAD negara yakin mampu menewaskan Singapura dan Palestin dalam aksi persahabatan pada September ini.

Harimau Malaya sedia eksperimen pemain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SINGAPURA dan Palestin mungkin menjadi medan ujian buat pengendali skuad negara, Peter Cklamovski menguji idea lebih segar atau memberikan peluang kepada muka baharu bakal dipanggil memperkuatkan pasukan mengharungi aksi persahabatan kelas A, September ini.

Walaupun sedia bereksperimen untuk membina skuad lebih kukuh sebelum berdepan cabaran lebih sukar, namun Cklamovski tetap tidak mahu menggadaikan maruah Malaysia, sebaliknya kemenangan tetap menjadi keutamaan.

“Saya sentiasa mencari kemenangan dengan cara kita sendiri bagi memastikan perkembangan pasukan. Kami mahu terus mengembangkan mentaliti, membina keyakinan penyokong, bermain dengan agresif, dahagakan kejayaan dan penuh keazaman.

“Inilah peluang kita ada pada September. Ini juga yang kami lihat dan sedang membina cara bola sepak kami sendiri. Jika kami mampu kekalkan cara sendiri, keputusan baik pasti akan datang,” katanya.

Harimau Malaya mengambil keputusan menarik diri daripada Piala Negara-Negara Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) 2025 dan sebagai ganti, Singapura dan pasukan ranking ke-98 dunia, Palestin menjadi pilihan.

Ia tetap dilihat sebagai peluang buat Cklamovski untuk mengukuhkan kualiti pasukan sebelum meneruskan saingan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos pada 9 dan 14 Oktober serta Nepal (18 November).

“Jika kekalkan kemenangan, ranking kita akan naik. Saya tidak mahu lebihkan fokus kepada perkara itu kerana saya mahu membuatkan sesuatu yang istimewa buat pasukan.

“Jika kita mampu lakukan sesuatu yang istimewa, ranking kita pasti naik dan semua orang akan gembira,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI