SEPERTI kebiasaan, Amir (bukan nama sebenar) menjalani rutin hariannya dengan mengunjungi gimnasium yang terletak dalam sebuah pusat beli-belah di Lembah Klang seawal pukul 7 pagi, sebelum pergi ke tempat kerja.
Setiap kali tiba di pusat beli-belah itu, semua kedai masih belum beroperasi kecuali gimnasium tersebut.
Hanya bunyi pendingin hawa dan kelibat tukang cuci di hujung lorong yang menemani suasana sepi Amir pada setiap pagi. Pemuda berusia 23 tahun itu lebih selesa mengunjungi gimnasium pada waktu pagi kerana dia bebas menggunakan alat senaman tanpa perlu menunggu giliran.
Namun disebabkan satu kejadian aneh, Amir telah mengubah pendiriannya, sekali gus menukar waktu senaman di gimnasium pada setiap hari.
Membuka cerita kepada CitaRasa, Amir berkata, semuanya berlaku apabila dia memilih menggunakan mesin larian (treadmill) yang terletak di bahagian hujung gimnasium.
“Ketika tengah rancak berlari, tiba-tiba saya terdengar mesin treadmill di sebelah terpasang dengan sendiri. Paparan di skrin menunjukkan kelajuan 12 kilometer sejam (km/j).
“Saya lihat seolah-olah ada orang sedang berlari di treadmill itu. Namun, saya malas hendak layan dan menganggap mungkin mesin itu rosak,” katanya.
Namun, hatinya mula rasa tidak tenteram apabila bunyi seperti seseorang sedang berlari semakin kuat, walaupun gimnasium itu masih kosong.
Kelajuan treadmill itu tiba-tiba meningkat dan bunyi hentakan tapak kaki berlari menjadi semakin jelas serta pantas.
Enggan panik, Amir turun dari treadmill yang sedang digunakannya untuk menutup suis mesin treadmill ‘rosak’ tersebut. Namun mesin yang digunakannya pula tidak dapat dihentikan.
“Saya cuba menjerit minta tolong pada tukang cuci yang berada di hujung gimnasium, namun suara saya pula langsung tidak keluar,” katanya.
Keadaan semakin cemas apabila Amir mula berasa letih kerana terpaksa berlari laju.
Ini kerana mesin larian digunakannya menjadi semakin laju. Jadi, Amir terpaksa berlari pantas seolah-olah dia sedang berlumba dengan sesuatu yang tidak kelihatan.
Lebih menyeramkan, dia terdengar suara orang ketawa datang dari arah tukang cuci, namun individu itu langsung tidak memandangnya.
Disebabkan itu, Amir terus memejamkan mata sambil membaca ayat-ayat suci al-Quran untuk menenangkan dirinya.
Tiba-tiba, mesin treadmill digunakannya kembali perlahan. Bunyi-bunyi pelik tadi juga semakin hilang dan suasana kembali sunyi seperti sebelumnya.
Amir terus menarik nafas lega dan perlahan-lahan membuka mata untuk melihat keadaan di sekelilingnya.
Sebaik membuka mata, Amir terkejut apabila melihat refleksi dirinya bersama susuk hitam yang berdiri tegak di belakangnya di dalam cermin.
“Sejujurnya, saya sangat terkejut melihat lembaga serba hitam dan tinggi itu. Tangan lembaga itu pula berada di atas bahu saya.
“Selepas itu, saya sudah tidak ingat apa-apa. Saya cuma sedar apabila staf gimnasium kejut saya.
“Saya jadi kelu selepas sedar. Jadi, saya diam saja apabila disoal oleh pekerja gim. Beberapa hari selepas itu, saya terus tukar gim,” katanya.














