MIAMI, FLORIDA – Seorang wanita ditahan selepas cuba menyeludup dua ekor kura-kura yang disembunyikan di dalam colinya di sebuah lapangan terbang di negeri Florida, lapor laman berita USA Today.
Kejadian berlaku Lapangan Terbang Antarabangsa Miami, April lalu.
Pegawai Pentadbiran Keselamatan (TSA) menahan penumpang terbabit selepas teknologi pengimejan canggih mengesan dua objek aneh tersembunyi pada dadanya.
“Suspek dibawa untuk menjalani pemeriksaan lanjut. Objek aneh itu ialah dua kura-kura,” kata TSA di laman Linkedln kelmarin.
Seekor kura-kura ditemukan mati, manakala seekor lagi masih hidup.
Haiwan itu diserahkan kepada Jabatan Ikan dan Hidupan Liar Florida.
“Tolong berhenti menyembunyikan haiwan di tempat pelik pada badan anda dan cuba untuk melepasi pemeriksaan keselamatan,” kata TSA dalam satu kenyataan. – AGENSI