fbpx
AHMAD Maslan (empat dari kanan) ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak projek Pusat Darah Wilayah Utara di Sungai Petani, hari ini.

Pusat Darah Wilayah Utara siap Oktober ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Projek pembinaan Pusat Darah Wilayah Utara, di sini, yang menelan belanja sebanyak RM49.87 juta dijangka siap sepenuhnya pada Oktober ini, sekali gus menjadi pusat pengumpulan dan pengurusan darah utama bagi negeri-negeri di wilayah utara.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, projek yang kini mencapai kemajuan fizikal 93 peratus itu berjalan mengikut jadual tanpa sebarang isu kritikal dan membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh sistem kesihatan negara.

“Projek ini menggunakan kaedah reka dan bina oleh kontraktor MEC Jati Sdn. Bhd. dengan pemantauan Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui Pasukan Projek Persekutuan JKR Negeri Kedah.

“Ia dimulakan pada 2 Ogos 2021 dan dijangka memperoleh Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) menjelang Oktober ini,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek berkenaan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pusat itu dilengkapi pelbagai kemudahan moden termasuk blok utama pusat darah, blok mekanikal dan elektrikal, kafeteria, kawasan parkir terbuka, pondok pengawal, loji rawatan kumbahan serta rumah sisa buangan klinikal dan kimia.

Fasiliti tersebut turut menyediakan 20 katil khusus untuk pendermaan darah, makmal moden, sistem penapisan dan penyimpanan darah bersuhu -40 darjah Celsius serta logistik bersepadu bagi memastikan keselamatan dan kecukupan bekalan darah.

“Pusat ini akan meningkatkan kecekapan pengurusan darah secara menyeluruh dari proses pendermaan, analisis, sehingga ke penyimpanan.

“Kemudahan ini juga mesra pengguna dan memberi keselesaan kepada penderma serta petugas kesihatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN