KUALA LUMPUR – Kira-kira 18,000 peserta Himpunan Turun Anwar dianggarkan di Dataran Merdeka hari ini, jauh melebihi anggaran awal pihak polis.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan berkata, himpunan tersebut berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal walaupun terdapat beberapa perkara teknikal yang tidak dipersetujui pada awalnya.
“Kita menganggarkan lebih kurang 18,000 orang hadir. Setakat ini tiada laporan polis dibuat dan semuanya berjalan lancar,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Mohamed Usuf turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang mematuhi peraturan dan undang-undang, serta menyeru penganjur agar lebih telus dan bekerjasama dengan pihak berkuasa pada masa akan datang.
“Nasihat saya kepada penganjur, pada masa akan datang perlu lebih telus dan beritahu kami lebih awal tentang kehendak mereka. Kami akan lihat dari sudut keselamatan kerana ia adalah tanggungjawab kami sepenuhnya,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Mohamed Usuf berkata, lebih 3,000 pegawai dan anggota polis ditugaskan bagi mengawal keselamatan sepanjang himpunan berlangsung.
“Kita tingkatkan kekuatan sehingga 3,000 anggota untuk memastikan keadaan kekal terkawal,” katanya.
Ditanya mengenai tindakan susulan, beliau memaklumkan bahawa pihak polis akan memanggil penganjur untuk sesi bedah siasat bagi menambah baik sebarang kelemahan yang dikenal pasti.
“Setiap kali ada acara sebegini, kita akan adakan mesyuarat bersama semua pihak bagi melihat aspek yang perlu diperbaiki,” jelasnya.
Beliau turut mengesahkan bahawa pihak polis telah menerima 60 laporan polis sebelum perhimpunan, yang kebanyakannya membantah penganjuran acara tersebut.
Namun, tiada sebarang laporan diterima sepanjang perhimpunan berlangsung hari ini. – KOSMO! ONLINE