ALOR SETAR – Kedah merekodkan peningkatan dalam purata kes jenayah terhadap wanita dan kanak-kanak iaitu sebanyak 42 kes sebulan dalam tempoh enam bulan tahun ini berbanding 16 kes pada tahun lepas.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peningkatan itu membimbangkan apatah lagi kebanyakan kes membabitkan mangsa yang mengenali pelaku.
“Tapi saya yakin, itu hanya merujuk kepada kes yang dilapor sebab corak jenayah jenis ini juga sering kali data menunjukkan bahawa si pelakunya itu adalah dalam kalangan yang dikenali mangsa.
“Jenayah seksual pula, kalau dari segi mangsanya, kalau kayu ukurnya adalah mereka di bawah 18 tahun, mereka ini (kanak-kanak) mewakili sehingga 75 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan setiap tahun,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Pusat Temuduga Kanak-kanak (CIC) Kontinjen Kedah di Derga dekat sini hari ini.
Saifuddin Nasution berkata, kes jenayah melibatkan kanak-kanak sebagai saksi cabaran terbesar kepada siasatan polis adalah untuk mengumpul dan membina bukti.
“Selain daripada pegawai penyiasat membuka kertas siasatan, komponen siasatan itu mesti dilengkapkan dengan corroborative evidence. Jadi fungsi ‘corroborative evidence’ itu adalah fungsi yang dikendalikan oleh CIC inilah,” katanya.
Beliau berkata, tugas di CIC dianggap unik kerana ia berbeza dengan proses penyiasatan yang biasa dilakukan oleh pihak polis terhadap kes-kes lain. – KOSMO! ONLINE