SHAH ALAM – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih menunggu maklum balas selepas menghantar bantahan rasmi susulan tindakan penyokong pasukan Indonesia yang mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik ketika aksi Piala ASEAN Bawah 23 Tahun (B-23) di Jakarta, awal minggu ini.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, surat bantahan itu telah dihantar kelmarin kepada Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), Winston Lee Boon Aun selain pihak Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
“Kita sudah hantar bantahan kepada AFF dan salinan kepada kepada AFC.
“Perkara ini menimbulkan rasa kurang senang buat penyokong dan rakyat Malaysia,” katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara FAM dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), petang tadi.
Pada perlawanan di Stadium Gelora Bung Karno itu, aksi yang berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan itu dicemari apabila tindakan segelintir penyokong tuan rumah yang mengibarkan bendera Malaysia secara terbalik dan dipangkah mencetuskan kemarahan penyokong tanah air.
Insiden itu dilihat jelas melanggar Artikel 16(2)(d) Kod Tatatertib FIFA yang menekankan larangan terhadap tindakan provokatif, diskriminasi dan penghinaan terhadap simbol negara. – KOSMO! ONLINE