KUALA LUMPUR – Wang tunai palsu berjumlah AS$400,000 (RM1.67 juta) antara 49,231 barangan kes yang dilupuskan, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, wang tunai tersebut merupakan barang rampasan kes penipuan pertukaran matawang ringgit kepada dolar Amerika Syarikat melibatkan sekumpulan warga asing.
Menurutnya, kertas siasatan itu yang dibuka di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) IPD Brickfields telah selesai dijalankan.
“Suspek telah dituduh dan dijatuhkan hukuman penjara selama 1 tahun 3 bulan oleh mahkamah.
“Kesemua suspek akan dihantar pulang ke negara asal selepas mereka selesai menjalani hukuman,” katanya pada sidang akhbar di IPD Brickfields, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, keseluruhan barangan yang dilupuskan membabitkan 124 kertas siasatan dari 2017 sehingga tahun ini.
Katanya, antara yang dilupuskan ialah barangan kes kontraban seperti rokok, minuman keras dan cakera padat video termasuk peranti perjudian dalam talian serta kes noda melibatkan telefon bimbit.
“Sebanyak 16 kertas siasatan di bawah JSJK manakala 108 kertas siasatan di bawah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dengan masing-masing melibatkan 1,325 dan 47,906 barang rampasan.
“Bagi barangan seperti peranti judi dalam talian, ia memerlukan pelupusan yang sistematik kerana terdiri daripada barangan e-waste,” ujarnya.
Tambah beliau, operasi pelupusan barangan kes dijalankan bagi mengurangkan bebanan penyimpanan selain mengurangkan risiko kehilangan dan penyalahgunaan sekiranya disimpan terlalu lama. – KOSMO! ONLINE