PETALING JAYA – Keprihatinan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terserlah apabila berkenan menghulurkan bantuan kepada seorang mangsa kemalangan jalan raya di hadapan Istana Abdulaziz, petang tadi.
Menerusi perkongsian di laman Facebook Kesultanan Pahang, ketika kejadian Paduka Baginda dalam perjalanan untuk beriadah dan secara tidak sengaja menyaksikan satu kemalangan.
Jelas hantaran itu, kemalangan tersebut melibatkan seorang penunggang motosikal yang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas selepas melanggar tiang berhadapan kawasan Istana Abdulaziz.
“Tanpa berlengah, Paduka Baginda segera meninjau dan menghampiri mangsa yang ketika itu sedang menahan kesakitan akibat kecederaan yang dialami.
“Baginda turut bertanyakan keadaan mangsa serta memastikan bantuan kecemasan dan penghantaran mangsa ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan lanjut,”kata hantaran tersebut.-KOSMO! ONLINE