KUALA LUMPUR – Biarpun ditipu oleh bekas pengurus, kumpulan Floor 88 kekal dengan pendirian enggan mengambil sebarang tindakan undang-undang.
Menurut vokalis kumpulan Floor 88, Ayie Elham, 28, pihaknya tidak mahu mengambil sebarang tindakan kerana mengenangkan bekas pengurus tersebut juga adalah sahabat mereka.
“Kami tidaklah merancang untuk membawa kes ini ke muka pengadilan kerana masih kenangkan periuk nasinya.
Sebab apabila difikirkan semula, dia pernah susah senang dengan kami. Mungkin kami terlalu mengikut perasaan apabila mendedahkan namanya dalam kenyataan kepada media sebelum ini.
“Rasanya dia ‘terduduk’ juga apabila identitinya diketahui umum. Apa pun, terserah kepada dia sama ada mahu berjumpa atau tidak,” kongsinya pada majlis pelancaran lagu terbaru, F, semalam.
Tambah Ayie, selepas isu penyelewengan wang itu terbongkar sekitar April lalu, sehingga ke hari ini mereka masih belum bersemuka dengan bekas pengurus tersebut.
“Selepas kami mengeluarkan kenyataan kepada pihak media, dia masih belum berjumpa kami.
Kami tidak mendesak, malah terbuka menerima apabila dia bersedia untuk berjumpa kami pada bila-bila masa,” ujar Ayie lagi.
Floor 88 sebelum ini mendedahkan mengenai kegiatan individu berkenaan yang menyeleweng duit persembahan kumpulan itu.
Gara-gara kegiatan tidak bertanggungjawab bekas pengurus mereka itu, kumpulan tersebut juga hampir disaman oleh penganjur yang telah membayar wang pendahuluan kepada pelaku.
Bukan itu sahaja nama baik Floor 88 juga terjejas sehingga mereka tidak ditawarkan persembahan pentas selama sebulan lebih.
Kami difahamkan ada satu penganjur yang sudah menghantar surat tuntutan (LOD) kepadanya dan kami dimaklumkan dia memberi maklum balas dengan berjanji untuk memulangkan wang pendahuluan yang diambilnya.
“Alhamdulillah, kami berasa lega kerana nama kembali bersih selepas cerita sebenar didedahkan. Boleh dikatakan sekarang hampir setiap minggu kami terima tawaran membuat persembahan,” kongsinya.
Dalam pada itu lagu terbaharu kumpulan Floor 88 berjudul F telah dilancarkan di semua platform digital termasuk video muzik yang diinspirasikan daripada filem Man Laksa.-KOSMO!ONLINE