PETALING JAYA – Maruah Pas terjejas jika jumlah kehadiran peserta Himpunan Turun Anwar di ibu negara esok tidak mencapai 500,000 orang.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, sasaran kehadiran 500,000 peserta itu yang membuatkan Pas berdebar-debar.
“Pas berdebar debar bukan kerana Anwar akan turun atau tidak, tetapi apakah sasaran kehadiran 500,000 orang akan tercapai. 90 peratus kehadiran bergantung kepada ahli Pas.
“Maka Pas lebih fokus kepada jumlah yang hadir. Maruah Pas terjejas jika jumlah kehadiran 500,000 tidak tercapai,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Pemimpin pembangkang sebelum ini menjangkakan peserta Himpunan Turun Anwar di Kuala Lumpur pada 26 Julai 2025 boleh mencapai antara 500,000 hingga 1 juta orang.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menerima 60 laporan polis berhubung Himpunan Turun Anwar pula menjangkakan ia akan disertai antara 10,000 hingga 15,000 peserta.
Mohd. Puad berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula pasti tidak berdebar-debar kerana tahu himpunan tersebut tidak akan memberi kesan terhadapnya.
Menurut beliau, Anwar pernah membuat demonstrasi Undur Mahathir pada tahun 1998, tetapi Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak turun daripada jawatan Perdana Menteri.
Beliau berkata, Pilihan Raya Umum 1999 dan 2004 malah menyaksikan Barisan Nasional (BN) tetap menang majoriti dua pertiga.
Ujar beliau, perhimpunan esok lebih berkesan jika UMNO turut serta yang menyaksikan Kerajaan Pakatan Harapan 1.0 terpaksa membatalkan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada 2018.
“Perhimpunan esok, ‘the loser’ ialah Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin. Anwar tidak turun. Nak tunggu PRU16, terlalu lambat untuk mereka berdua. Semoga kita semua panjang umur hingga ke PRU16,” katanya. – KOSMO! ONLINE