LONDON – Newcastle United terus dihimpit tekanan selepas wujud dakwaan tuntutan kenaikan gaji lebih sekali ganda daripada penyerang sensasinya, Alexander Isak.
Penyerang Sweden itu dikatakan menuntut Newcastle supaya bersetuju dengan tuntutan gaji £300,000 (RM1.7 juta) seminggu sekiranya mahu mengekalkan khidmatnya di St. James Park.
Angka yang cukup besar itu perlu dipertimbangkan oleh Newcastle kerana kontrak sedia ada menyaksikan Isak hanya menerima £120,000 (RM688,905) seminggu.
Isak, 25, yang tidak menyertai pasukan pada aksi pramusim menentang Celtic minggu lalu dan jelajah Asia di Singapura ketika ini dilihat berlatih berseorangan di pusat latihan pasukan hingga meningkatkan spekulasinya bakal berhijrah ke kelab lain.
Ejen Isak, Gonzalo Gaitan dalam perkongsiannya turut mengakui penggempur berbisa itu turut mendapat perhatian kelab-kelab di Arab Saudi dan masih menilai beberapa potensi terbaik.
“Kami sememangnya sedang mengkaji dan menganalisis semua pilihan yang ada. Selepas itu mungkin akan dapat memuktamadkan apa langkah seterusnya buat Isak,” katanya.
Ketika ini, juara Liga Perdana Inggeris, Liverpool yang mungkin akan membawa masuk Hugo Ekitike, dilaporkan masih berminat mendapatkan khidmat Isak dan bersedia memecahkan rekod perpindahan British.
Liverpool dilihat serius untuk mengekalkan dominasi di EPL buat kali kedua berturut-turut menjelang musim baharu bermula 16 Ogos ini dengan menyasarkan Isak dan dilaporkan perlu membayar £125 juta (RM716.38 juta) hingga £150 juta (RM859.66 juta). – AGENSI