PETALING JAYA – Sabah dinobatkan sebagai Negeri Paling Cemerlang di Malaysia bagi Tahun 2024 pada acara Anugerah ASEAN International Business Review (IBRAA) 2025.
Kejayaan tersebut sekali gus membuktikan dedikasi kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam memacu Negeri Di Bawah Bayu itu ke peringkat tertinggi dalam aspek penting termasuk ekonomi dan sosial.
“Pengiktirafan kepada Hajiji Noor atas kepimpinan cemerlang beliau melalui pelaksanaan pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang komprehensif.
“Pembangunan menyeluruh dalam aspek ekonomi infrastruktur dan hak rakyat telah dicapai di bawah pentadbiran beliau,” demikian kenyataan rasmi wakil Anugerah IBRAA 2025.
Sementara itu, Negeri Sembilan diumumkan sebagai pemenang Negeri Paling Progresif di Malaysia bagi Tahun 2024.
Pengiktirafan tersebut sebagai penghargan buat Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun atas kepimpinan cemerlang beliau menerusi pelaksanaan Rancangan Struktur Negeri Sembilan (RSNS) 2045 dan pemodenan Malaysia Vision Valley (MVV) ke arah pembangunan pesat negeri ini.
Membawa tema REIMAGINING ASEAN bersempena dengan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, majlis anugerah dwitahunan tersebut mencatat sejarah baharu dengan memberikan pengiktirafan kepada negeri-negeri Malaysia hasil kepimpinan cemerlang dan pelaksanaan dasar utama.
Acara berprofil tinggi itu berlangsung pada 19 Julai 2025 lalu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, Kota Kinabalu.
Lebih 350 tetamu yang terdiri daripada diplomat, pemimpin sektor awam dan swasta, tokoh industri, serta ahli masyarakat yang dihormati hadir bagi meraikan para pemenang dari seluruh ASEAN dan Asia Pasifik.
Barisan panel penilai Anugerah ASEAN IBR yang dihormati telah meneliti pencapaian sembilan pemenang malam ini sebelum mengesahkan kelayakan mereka menerima anugerah masing-masing.
Acara turut dihadiri Datuk Beatrice Nirmala, Pengerusi Penganjur merangkap Pengarah Urusan Kumpulan The IBR Asia Group dan ucapan perasmian daripada Tetamu Kehormat, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun, Menteri Kewangan Negeri Sabah.
Berikut merupakan anugerah lain yang disampaikan pada IBRAA 2025:
- Institut Jantung Negara (IJN)
Pemenang: Kecemerlangan Korporat dalam Sektor Penjagaan Kesihatan atas Kepimpinan dalam Inovasi ESG
Ditubuhkan pada tahun 1992, IJN sentiasa berpegang teguh pada visi menjadi pusat kecemerlangan global dalam rawatan kardiovaskular dan torasik. Selaras dengan slogan mereka “Caring Beyond the Heart”, IJN mengamalkan pendekatan holistik terhadap polisi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus mereka. IJN terus menyumbang kepada komuniti, melindungi alam sekitar, dan memastikan integriti tertinggi. Pencapaian terkini mereka ialah menjadi hospital pertama di Malaysia yang mendapat pengiktirafan EMGS bertaraf 3 bintang. - Clean Kinetics Pte. Ltd.
Pemenang: Kecemerlangan Korporat dalam Sektor Tenaga Boleh Diperbaharui atas Penyelesaian Pengurusan Tenaga Mapan
Ditubuhkan pada tahun 2021 di Singapura, Clean Kinetics menumpukan kepada sektor tenaga hijau. Projek mereka sejajar dengan usaha kerajaan Singapura ke arah tenaga bersih, terutamanya tenaga solar. Antara projek utama mereka ialah Projek Solar 418MW di Mesaieed Industrial City, Qatar dan Fasa 6 (300MWp) di Dubai Electricity & Water Authority. - Millenium Minerals Ltd.
Pemenang: Kecemerlangan Korporat dalam Industri Perlombongan atas Perlombongan Beretika
Dengan lebih 30 tahun pengalaman dalam pasaran kewangan dan geologi, Millenium Minerals komited untuk melaksanakan perlombongan yang telus, mampan dan beretika.
Mereka merupakan satu-satunya pemegang lesen yang diketahui untuk menggali Berlian Zimmi kuning yang jarang ditemui. Teknologi blockchain digunakan bagi memastikan urus niaga berlian yang sah dan boleh disahkan sepenuhnya di Afrika Barat. - Sabah Ports Sdn. Bhd.
Pemenang: Kecemerlangan Korporat dalam Sektor Logistik atas Pengurusan Pelabuhan
Anak syarikat milik penuh Suria Capital Holdings Berhad, Sabah Ports menguruskan operasi pelabuhan Sabah melalui 8 pelabuhan utama.
Pada September 2024, mereka bekerjasama dengan DP World bagi mengurus Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar (SBCP) sebagai pelabuhan serantau utama untuk BIMP-EAGA. - AiRTS Pte. Ltd.
Pemenang: Teknologi Inovatif dalam Sektor Kecerdasan Buatan bagi Meningkatkan Kecekapan Tempat Kerja
Ditubuhkan secara rasmi pada tahun 2024, AiRTS membangunkan teknologi AI yang dipatenkan dan disesuaikan untuk setiap pelanggan bagi meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos sebenar. Produk utama mereka, GenAI Twin, berfungsi sebagai salinan maya pekerja manusia yang menangani tugas-tugas rutin, membolehkan pekerja memberi tumpuan kepada aktiviti yang lebih bernilai. - Alpine Integrated Solution Sdn. Bhd. (AIS)
Pemenang: Kecemerlangan Korporat dalam Sektor Pengurusan Acara bagi Projek Mega Kerajaan AIS, di bawah Alpine Group Services, pakar dalam mengendalikan acara pertahanan dan keselamatan siber seperti LIMA 2023, siri CYDES dan AISSE 2025, dengan kerjasama agensi kerajaan. - Education Malaysia Global Services (EMGS)
Pemenang: Kecemerlangan Korporat dalam Sektor Pendidikan bagi Memperkukuh Kedudukan Malaysia sebagai Hab Pendidikan Global. Di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), EMGS ditubuhkan untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi pendidikan utama bagi pelajar antarabangsa. Pada tahun 2024 sahaja, mereka menerima 81,992 permohonan baharu dan 60,384 pembaharuan.
Anugerah ASEAN International Business Review (IBRAA) yang diadakan setiap dua tahun ini bertujuan menghubungkan pemacu kemajuan rantau ini.
IBRAA 2025 terus menonjolkan pencapaian utama penerima anugerah berdasarkan pencapaian mereka dalam industri masing-masing. – KOSMO! ONLINE