KUALA LUMPUR – Harapan skuad quadran lelaki negara untuk mara ke pentas final Kejohanan Sepak Takraw Piala Raja Thai 2025 musnah selepas tumbang 0-2 kepada Jepun dalam aksi separuh akhir yang berlangsung, sebentar tadi.
Kekalahan itu cukup memeritkan, memandangkan Malaysia sebelum ini menewaskan Jepun 2-0 di pentas final Kejohanan Piala Asia 2025 di Kuala Lumpur, Mei lalu, sekali gus dinobatkan sebagai Raja Asia dalam acara quadran.
Pada aksi yang berlangsung di Central Hatyai, Songkhla itu, Jepun tampil dengan taktikal lebih tersusun, terutama mengatur tiga pemain pertahanan, sebelum berjaya menundukkan barisan negara dengan keputusan 15-11, 15-13.
Malaysia yang dibarisi Muhammad Noraizat Mohd Nordin, Aidil Aiman Azwawi, Muhammad Shahalril Aiman Halim, Norfaizzul Abd Razak dan Mohammad Azlan Alias gagal menyaingi kekemasan permainan lawan sekali gus terpaksa akur dengan kekalahan mengejut tersebut.
Ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun, akur dengan kekalahan itu dan menyifatkan Jepun bermain cukup baik, terutama dari segi pertahanan.
“Bagi saya, secara peribadi kena terima hakikat bahawa Jepun bermain lebih baik berbanding pasukan negara, terutamanya dari segi pertahanan dan hadangan yang berjaya menghalang apit kanan kita daripada melakukan libasan.

“Ia sedikit sebanyak mengganggu fokus pemain untuk melakukan serangan. Kita juga kehilangan Afifuddin Razali akibat kecederaan dan itu menjejaskan perancangan pasukan hari ini.
“Apapun, kita ambil kekalahan ini sebagai pengajaran untuk tampil lebih baik menjelang aksi di Sukan SEA Thailand, Disember nanti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sejurus tamat perlawanan.
Skuad negara turun ke aksi separuh akhir dengan reputasi kukuh apabila menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan rekod bersih tanpa kalah dan turut mengatasi pasukan tuan rumah.
Hasil keputusan tersebut menyaksikan Jepun mara ke final buat kali pertama dalam sejarah kejohanan dan bakal bertemu Vietnam, yang mencipta kejutan menewaskan Thailand 2-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir hari ini.
Malaysia pula terpaksa akur menamatkan kempen di tempat ketiga bersama Thailand. – KOSMO! ONLINE