PETALING JAYA – Majlis Amanah Rakyat (Mara) menegaskan bahawa pihaknya serta institusi pengajian terlibat iaitu Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Bangi dan German-Malaysian Institute (GMI) Kajang tidak pernah menganjur atau meluluskan sebarang konvoi melibatkan pelajar-pelajar berkenaan sehingga mengorbankan tiga nyawa.
Mara dalam kenyataan berkata, sebaliknya penganjuran itu hasil perbincangan antara pelajar melalui kumpulan WhatsApp.
“Berdasarkan siasatan awal, perancangan aktiviti konvoi tersebut adalah merupakan inisiatif bersifat tidak rasmi yang dianjurkan secara santai oleh pelajar-pelajar sendiri melalui perbincangan dalam kumpulan WhatsApp tanpa sebarang penglibatan rasmi daripada pihak institusi atau Mara,” jelas kenyataan itu.
Pada masa sama, Mara berkata, pihaknya memandang serius insiden kemalangan membabitkan 16 pelajar institusi pengajian di bawah seliaannya, yang berlaku di Kilometer (KM) 262, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Seremban, awal pagi tadi.
Katanya, seramai 15 pelajar KPTM Bangi dan seorang dari GMI Kajang terlibat.
Jelas Mara, insiden tersebut telah meragut nyawa tiga pelajar KPTM, manakala sembilan lagi pelajar dilaporkan mengalami kecederaan.
“Tiga pelajar lain tidak mengalami sebarang kecederaan. Dalam kejadian yang sama, seorang pelajar dari GMI dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, Negeri Sembilan.
“Proses bedah siasat bagi ketiga-tiga jenazah pelajar KPTM telah diselesaikan di Hospital Rembau, Negeri Sembilan. Jenazah Haris Azib Sulaiman telah dibawa ke Masjid Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang untuk urusan pengebumian.
“Jenazah Afkar Fitri Affendi pula dihantar ke Masjid Melaka Pindah, Alor Gajah, Melaka, manakala Aliff Syahmi Abdul Hakim telah dibawa pulang ke kediaman keluarga di Gombak, Selangor,” katanya.
Mara turut menyampaikan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa yang terkorban serta berharap agar para pelajar yang cedera diberikan kesembuhan segera.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila 15 motosikal yang ditunggang secara berkumpulan dari arah Senawang menghala ke Kuala Lumpur melalui Lebuh Raya Utara-Selatan berada di lorong tengah dan kanan, sebelum tiga motosikal di hadapan terjatuh selepas dipercayai bergesel dan berlanggar sesama sendiri. – KOSMO! ONLINE