PETALING JAYA – Terdapat keperluan memasukkan pendidikan mengenai bahaya vape yang mengandungi bahan sintetik ke dalam silibus pembelajaran selain melaksanakan kempen kesedaran secara berterusan khususnya dalam kalangan pelajar.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ibu bapa juga disarankan agar sentiasa memantau aktiviti serta barangan anak-anak di sekolah dan berbincang secara terbuka mengenai risiko penggunaan.
“JSJN turut menyokong kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara (Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay) mengenai larangan penjualan vape di peringkat negeri sebagai langkah membendung penyalahgunaan dadah melalui peranti ini.
“Seiring itu, kerjasama masyarakat sangat diperlukan untuk menyalurkan maklumat berkaitan isu ini.
“Seperti diketahui umum, kerajaan sedang memperkemas mekanisme kawal selia produk vape, terutamanya dari aspek kandungan dan pengedaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Hussein berkata, trend penggunaan vape yang dikaitkan dengan ‘magic mushroom’, bahan yang mengandungi dadah sintetik dalam kalangan ramaja mendapat perhatian pihak berkuasa termasuk JSJN sejak sekian lama.
Bagaimanapun, beliau mengesahkan tiada istilah ‘dadah magic mushroom’ dalam cecair vape seperti dakwaan tular sebelum ini.
Ujarnya, dakwaan tular mengenai cendawan kering atau titisan cecair halusinogen semulajadi adalah tidak tepat malah ia merupakan manipulasi oleh pengedar yang melabelkan bahan sintetik sebagai ‘cendawan ajaib’.
Dalam pada itu Hussein berkata, Kementerian Kesihatan bersama agensi penguat kuasa sedang meneliti pelaksanaan sistem pelesenan baharu yang lebih ketat, termasuk pemantauan kandungan cecair vape melalui ujian makmal dan kawalan ketat penjualan kepada individu di bawah umur.
“Dalam masa yang sama, pihak polis terus memantau penjualan vape yang mengandungi dadah secara dalam talian.
“Pendek kata, penguatkuasaan kini tidak hanya tertumpu kepada kawalan fizikal, tetapi turut merangkumi ruang digital,” katanya. – KOSMO! ONLINE