BANGKOK – Perang meletus di sempadan Thailand-Kemboja hari ini, mengakibatkan kecederaan, kematian, dan kemusnahan sekurang-kurangnya sebuah kedai 7-Eleven di sebuah stesen minyak di Thailand, lapor laman berita Mothership.
Roket yang didakwa dilancarkan dari Kemboja mengenai stesen minyak PTT di Ban Phue, daerah Kantharalak, wilayah Sisaket, tenggara Thailand.
Letupan dan kebakaran besar berlaku akibat serangan itu.
Sebuah rakaman video kejadian itu tular di media sosial.
Ketua daerah Karb Choeng di Surin, Sutthiroj Charoenthanasak berkata, dua peluru roket BM-21 jatuh di Kampung Ban Jorok di Tambon, menyebabkan dua orang terbunuh dan dua lagi parah.
Dua mangsa dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Dua lagi yang cedera dikenal pasti sebagai seorang dewasa dan seorang budak lelaki berusia 12 tahun.
Menurut laporan Al Jazeera, jumlah korban awam dalam serangan di stesen minyak itu meningkat kepada enam orang.
Roket Kemboja juga dikatakan jatuh di kawasan perumahan.
Sebutir peluru meriam dilaporkan mendarat di luar pagar Hospital Phanom Dong Rak di Surin, yang juga merupakan kawasan kediaman.
Hospital tersebut bagaimanapun telah mengosongkan semua kakitangan dan pesakit lebih awal. – AGENSI