PETALING JAYA – Pelakon Amyra Rosli mengakui kekal istiqamah adalah dugaan terbesar perlu dilalui golongan Muslimah yang nekad untuk berhijab menutup aurat, termasuk dirinya sendiri.
Pernah terfikir untuk membuka tudung, Amyra atau nama penuhnya Nur Amira Izzati Rosli, 34, bersyukur ahli keluarga banyak memberi sokongan agar hatinya tidak berbolak-balik.
“Daripada seorang yang ‘freehair’ kepada bertudung memang agar sukar pada mulanya untuk istiqamah. Enam bulan pertama saya pakai tudung itu macam-macam saya fikir.
“Macam saya ketika awal bertudung, ambil masa enam bulan untuk biasakan diri. Pernah juga dalam tempoh itu rasa nak buka tudung.
“Namun saya bersyukur dikelilingi dengan suami dan keluarga yang sentiasa beri sokongan,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada siri jelajah Anugerah Melodi Terhangat di Bukit Mertajam, Pulau Pinang baru-baru ini.
Tambah Amyra, dia juga dimomokkan oleh beberapa rakan bahawa kontroversi bakal tercetus sekiranya memilih untuk tidak tudung.
Selain sokongan, kesedaran dalam diri dengan mengambil kira soal dosa dan pahala juga antara faktor dia memilih kekal berhijab sehingga ke hari ini.
“Sebenarnya memakai tudung merupakan satu kewajipan untuk seorang wanita Muslim. Apa jua kewajipan yang sudah ditetapkan oleh Allah, kita kena paksa diri kita.
“Jadi, lama-kelamaan dengan usia yang semakin matang, saya tahu untuk berfikir bagaimana mahu istiqamah, perlu paksa diri.
“Jangan sesekali salahkan orang lain atau cakap tunggu masa yang sesuai, kita sendiri tidak tahu mati bila,” ujarnya.
Dalam masa sama, dia mengakui menghadiri kelas agama dan usrah antara yang membantu menambah ilmu sekali gus menguatkan lagi iman dalam diri.
“Cara saya istiqamah juga adalah dengan mengikuti banyak kelas agama dan berbual dengan keluarga mengenai tanggungjawab sebagai manusia di muka bumi ini.
“Semua itu membuatkan saya kuat dan istiqamah hingga ke hari ini serta belajar mengenali diri yang sebenar.
“Kelas agama dan usrah yang saya hadiri itu sangat membantu, saya paksa diri sertai kelas tersebut,” jelasnya.
Ujar Amyra, wanita terutama golongan anak seni tidak seharusnya bimbang dengan soal rezeki apabila memilih untuk berhijab dan sentiasa yakin dengan aturan Allah SWT.
“Dulu sebelum pakai tudung, saya lihat rezeki itu ada, cuma tidak tahu ke mana semua rezeki itu pergi.
“Namun, selepas bertudung dan berhijrah, saya lihat segala rezeki itu mendapat hasil.
“Mungkin rezekinya lebih berkat, banyak juga rezeki-rezeki yang tidak disangka datang,” katanya lagi.
Sebelum ini, pelakon Kilafairy membuat pendedahan sedang berperang dengan perasaan yang terdetik untuk kembali tidak bertudung.
Menerusi hantaran dalam Threads, Kila mengakui baru kini dia faham betapa sukarnya untuk kekal istiqamah. – KOSMO! ONLINE