PETALING JAYA – Kehadiran pemain gred A dalam skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak pernah menghadirkan rasa gerun buat Selangor FC menjelang aksi Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim pada 8 Ogos ini.
Pengendali The Red Giants, Katsuhito Kinoshi mahu pemain lebih bersikap positif dan tidak terlalu menekan diri memandangkan aksi menentang Harimau Selatan yang lebih dilabel pilihan utama.
“Kami perlu bersedia untuk berdepan tugasan sukar ini dan saya sendiri sudah bersedia. Sebagai pemain, jurulatih dan penggiat bola sepak, kalau tidak menikmati perlawanan, pasti kami tiada peluang.
“Kami bekerja dalam dunia bola sepak kerana kami sukakan sukan ini dan perlu menikmatinya. Walaupun ia adalah perlawanan sukar, kami tetap kena menikmatinya.
“Ia bermakna kami kena bersaing dan bekerja 100 peratus,” katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian dengan Daikin Malaysia di Petaling Jaya hari ini.
Sebelum ini, JDT mengesahkan berjaya mendapatkan empt pemain warisan kebangsaan gred A seperti Hector Hevel, Jon Irazabal, Nacho Mendez dan Joao Figueiredo.
Para peminat bola sepak juga sering membandingkan reputasi Selangor dengan kualiti JDT yang sudah pun mendominasi arena bola sepak tempatan sejak lebih sedekad lalu.
Berdasarkan rekod lalu, Harimau Selatan nyata berada di kelas tersendiri apabila meraih kemenangan bersih dalam lima pertembungan terakhir selain turut diberi kemenangan percuma pada aksi Piala Sumbangsih musim lalu selepas Selangor memilih menarik diri. – KOSMO! ONLINE