fbpx
Anwar Ibrahim berucap ketika majlis Peluncuran Inisiatif Kesejahteraan Rakyat (Sejahtera MADANI) di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya di sini, hari ini. -Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR/ KOSMO!

Sejahtera Madani sasar kurangkan 33 peratus miskin hujung tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia Madani (Sejahtera Madani) 2025 yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyasar untuk menoktahkan golongan miskin tegar dan mengurangkan 33 peratus orang miskin menjelang akhir tahun ini.

Inisiatif yang berpaksikan ‘whole of nation approach’ atau pendekatan seluruh negara dilaksanakan hasil kerjasama kerajaan dan syarikat swasta dengan dana terkumpul sebanyak RM120 juta setakat ini.

Perdana Menteri berkata, dalam memacu Malaysia menjadi sebuah negara gagah dan hebat ia bermula dengan kepimpinan yang bertanggungjawab, mengelak ketirisan dan rasuah.

Katanya, ia tidak akan berhasil tanpa kekuatan syarikat swasta sehingga menembusi pasaran antarabangsa seperti Mesir, Itali, Perancis, Peru, Brazil dan lain-lain.

Hasil pelaburan dan perdagangan itu, kerajaan memulangkan semula sebahagiannya kepada rakyat supaya mereka turut mengecapi nikmat.

“Tetapi dalam hal ini, ada golongan yang dipanggil kumpulan rentan yang miskin yang patut ditangani. Sasaran saya dan rakan-rakan Jemaah Menteri kalau boleh menoktahkan kemiskinan tegar itu hasrat kami.

“Berdasarkan angka-angka tahun 2023 dan 2024, kita dapat atasi (kemiskinan tegar) walaupun jumlah itu akan kemudian muncul, tetapi ia jauh lebih rendah berbanding dulu,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia Madani (Sejahtera Madani) 2025, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Bakar.

Sejahtera Madani diperkukuhkan dengan elemen tambahan yang memfokuskan program atau bantuan lebih berimpak dan berkelestarian tinggi kepada Ketua Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR) eKasih melalui empat fokus inisiatif iaitu peningkatan pendapatan, pendidikan, perumahan dan kebajikan.

Untuk rekod, sehingga 15 Julai lalu, seramai 306,403 Ketua Isi Rumah (KIR) direkodkan di dalam Sistem eKasih di seluruh negara dengan pecahan Miskin Tegar seramai 1,017 KIR dan Miskin seramai 305,386 KIR.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, dengan komitmen kerajaan, swasta, majlis agama dan lain-lain dilihat mampu menyelesaikan isu kemiskinan tegar dengan mudah

Anwar turut menyifatkan sambutan yang diterima daripada syarikat swasta amat luar biasa bahkan jauh melepasi sasaran awalnya iaitu RM50 juta.

Justeru, tegasnya, ia membuktikan keyakinan tinggi sektor swasta terhadap usaha kerajaan membantu kumpulan rentan melalui program berfokus seperti Sejahtera Madani.

“Melalui insiatif ini, saya kata kalau dapat (kumpul) RM50 juta pun sudah kira baik, kerajaan boleh tambah sedikit tetapi sekarang sambutan itu bukan hanya dua kali (ganda), lebih daripada itu.

“Jadi saya agak sentimental sikit dan minta maaf. Saya pun manusia biasa kadang-kadang ada juga perasaan walaupun tidak semua orang senang dalam hal ini tetapi saya percaya dan sudah hampir RM120 juta (sumbangan berjaya dikumpul),” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut mencadangkan supaya syarikat yang menyumbang untuk turut padang melihat dan memantau sendiri perkembangan projek yang dilaksanakan supaya kehadiran mereka dirasai oleh rakyat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI