PETALING JAYA – Pengacara dan pelakon Uyaina Arshad memberi amaran kepada segelintir individu yang menyalahgunakan video senamannya dengan tujuan mempromosikan produk yang dijual mereka.
Perkara tersebut disuarakan Uyaina atau nama penuhnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 32, selepas melihat video-video senamannya digunakan secara berleluasa tanpa izin.
“Saya rasa dah sampai masanya untuk bersuara sebab keadaan makin tak terkawal.
“Kepada mereka yang menjual produk, tolonglah jangan guna video tersebut untuk promosikan bisnes atau barang jualan kalian.
“Ada sebab kenapa saya tak pernah dedahkan jenama ‘walking pad’ yang saya guna. Jadi, macam mana boleh fikir untuk guna video saya dan promosi dalam media sosial kalian?” ujarnya dalam platform X.
Uyaina juga menyifatkan setiap rezeki yang diperoleh dengan menggunakan video milik orang lain tanpa izin adalah tidak berkat.
“Bagaimana kalian mendapat keberkatan mencari rezeki tetapi menggunakan konten orang lain? Itu bukan cara yang betul.
“Saya tak benarkan penggunaan video saya dan kepada sesiapa yang guna, silalah padam segera,” jelasnya.
Tambahnya, video-video senaman yang dimuat naik adalah bertujuan untuk memberi galakan kepada golongan ibu yang berjuang mengurangkan berat badan selepas bersalin.
“Saya kongsi video #sudahjalankabelum untuk membakar semangat kepada golongan ibu-ibu yang bersusah payah untuk turunkan berat badan selepas melahirkan anak.
“Jangan guna video saya sesuka hati kalian, tak berkat,” katanya lagi.
Dia bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci mengenai akaun atau individu yang menggunakan video miliknya tanpa kebenaran.
Sebelum ini, usaha Uyaina melakukan senaman dengan berjalan selama 30 minit di atas ‘walking pad’ setiap hari menjadi inspirasi ramai untuk menurunkan berat badan.
Hasil usahanya selama beberapa bulan sehingga April lalu, dia berjaya menurunkan berat sebanyak 16 kilogram. – KOSMO! ONLINE