fbpx
PEMAIN negara, Shahalril Aiman melakukan rejaman di Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa. -Foto: SYAKIR RADIN

Piala Raja Thai: Malaysia intai tiket final kuadran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Skuad kuadran lelaki negara terus mengukuhkan status selaku Raja Asia apabila garang menempah tiket ke separuh akhir Piala Raja Thai 2025 dengan rekod bersih tanpa kalah.

Dominasi mantap anak buah Zulkarnain Ariff itu sekali gus menempah pertemuan separuh akhir menentang India esok untuk memburu tempat ke pentas final.

Rekod tanpa kalah itu disempurnakan dengan kemenangan 2-0 ke atas Singapura (15-6, 15-12) sekali gus melengkapkan kempen peringkat Kumpulan A dengan empat kemenangan berturut-turut termasuk menumpaskan musuh musuh tradisi, Thailand, dalam aksi penuh dramatik di Hatyai semalam.

Pastinya, ia adalah kemenangan penuh bermakna buat kuartet negara yang diketuai Afifuddin Razali dan Shahalril Aiman Halim selaku killer, bersama Aidil Aiman Azwawi dan Norfaizzul Abd Razak di posisi feeder, yang kini memburu gelaran kedua musim ini selepas menjulang kejuaraan Piala Asia, pada Mei lalu.

Malaysia sebelum itu turut mengatasi Myanmar 2-1 (16-17, 15-8, 15-11) dan Korea Selatan 2-1 (15-10, 10-15, 15-10) dalam aksi pembukaan yang berlangsung hingga lewat malam.

Ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun  berkata, kemenangan solid anak-anak buah itu terpaksa dibayar mahal seleas mengesahkan Afifuddin tidak diturunkan hari ini akibat kecederaan yang dialami ketika menentang Korea Selatan.

“Dia (Afifuddin) tidak beraksi dalam perlawanan terakhir kumpulan dan juga acara berpasukan kerana cedera. Kita harap dia sempat pulih sepenuhnya sebelum separuh akhir esok,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, hari ini.

Mengulas cabaran separuh akhir, Ahmad Jais mengakui ia bukan tugas mudah tetapi menegaskan skuad negara sudah bersedia secara mental dan taktikal.

“Saingan suku akhir pasti lebih sengit, Tapi pemain kita ada pengalaman dan keyakinan. Kami akan fokus kepada kekuatan sendiri dan kekal konsisten,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN