KUALA KRAI – Seorang pemandu e-hailing bersama isterinya didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mengedar 67.75 kilogram (kg) dadah jenis ganja dan memiliki dadah methamphetamine seberat 15.10 gram bernilai RM3.1 juta di tepi jalan Padang Sembilan di sini kira-kira dua minggu lalu.
Tiada pengakuan direkodkan oleh Wan Muhammad Aziem Wan Mustafa, 31, dan Wan Matraf Azlinda Wan Mat, 49, yang merupakan peniaga ayam selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Amal Razim Alias.
Pengakuan tidak direkodkan oleh kedua-dua tertuduh berikutan kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa mengedar dadah jenis ganja dengan berat kasar 67.75 kg di tepi jalan Padang Sembilan di sini kira-kira pukul 4 pagi pada 11 Julai lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dihukum mati perlu dikenakan sebatan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, pasangan suami isteri itu didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 15.1 gram pada hari dan lokasi yang sama.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan hukuman di bawah Seksyen 39A (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan, disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mazlinda Mohd. Nor, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 23 September depan untuk sebutan semula kes dan laporan kimia.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, taktik sepasang suami isteri dipercayai pengedar dadah bernilai RM3.1 juta yang berselindung di sebalik pekerjaan sebagai pemandu e-hailing dan peniaga ayam terbongkar selepas mereka ditahan di jalan Pauh Sembilan di sini pada 11 Julai lalu.
Pasangan itu ditahan oleh anggota Unit Kereta Peronda (MPV) pada pukul 4 pagi selepas dikesan memandu dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, polis menjumpai 67.75 kilogram (kg) dadah jenis ganja selepas memeriksa kenderaan kereta jenis Proton S70 yang dinaiki oleh kedua-dua suspek.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas kereta itu turut membawa kepada penemuan 150 biji pil kuda dan sebilah kerambit.
“Susulan penahanan pasangan itu, polis telah menjalankan pemeriksaan di sebuah rumah di Selising, Pasir Puteh pada pukul 3.30 petang pada hari yang sama.
“Selain itu, polis turut menjumpai dadah jenis ganja hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan X-Trail. Jumlah keseluruhan ganja yang ditemukan di rumah itu dianggarkan seberat 22.16 kg,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Kota Bharu dekat sini baru-baru ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, suami kepada wanita berkenaan bekerja sebagai pemandu e-hailing sementara wanita berkenaan berniaga ayam segar di Selising, Pasir Puteh.
Katanya, polis tidak menolak kemungkinan pasangan suami isteri itu sudah dalam aktif dalam pengedaran dadah dan siasatan lanjut akan terus dijalankan.
“Semua dadah ini dipercayai dibawa masuk dari Thailand dan negara ini dijadikan sebagai transit sementara sebelum dibawa keluar,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE