SELEPAS dikecewakan di pentas final Piala Asia pada Mei lalu, skuad sepak takraw negara kini menggalas misi lebih besar apabila turun menggalas cabaran Piala Raja Thai 2025 di Central Hatyai, Songkhla bermula hari ini.
Kekalahan 0-2 kepada Thailand di laman sendiri dalam acara berpasukan pada Piala Asia lalu masih segar dalam ingatan dan bakal menjadi titik kebangkitan skuad kendalian Ahmad Jais Baharun di Thailand.
Bagi Ahmad Jais, anak didiknya tetap optimis dengan peluang Malaysia selepas diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, Laos, Myanmar dan Korea Selatan.
“Kita akan fokus setiap perlawanan. Kedudukan dalam kumpulan juga agak mencabar, namun kami tetap beri tumpuan penuh bagi memastikan pasukan pada prestasi terbaik,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Jais mengharapkan pemain negara memberi tumpuan 100 peratus dan mahu kembali ke pentas final biarpun beraksi di gelanggan lawan.
“Itu bukan halangan untuk kita cuba memberikan saingan terbaik pada edisi kali ini,” ujarnya.
Kali terakhir Malaysia menjuarai acara berpasukan pada 34 tahun lalu ketikai Sukan SEA Manila 1991 dan kemarau itu pasti menjadi pemangkin semangat buat barisan negara untuk menoktahkan penantian tersebut.
Skuad negara akan membuka tirai acara berpasukan esok dengan sasaran permulaan yang positif untuk melangkah jauh dalam edisi kali ini.
Skuad negara dibarisi tekong, Syahir Rosdi, Haziq Hairul Nizam, Zulkifli Abd Razak, Zarif Marican Ibrahim Marican diikuti apit kanan, Azlan Alias, Afifuddin Razali, Shahalril Aiman Halim, Noraizat Nordin dan apit kiri, Aidil Aiman Azwawi, Norfaizzul Abd Razak, Muhammad Zaim Razali serta Farhan Adam.
Thailand, selaku tuan rumah, berada dalam Kumpulan A bersama Brunei, India, Vietnam dan Singapura dengan aksi final dijadualkan pada 27 Julai ini.