fbpx
AMIR HAMZAH (kiri) bergambar bersama lima mahasiswa dari Jepun selepas pelancaran pakej edutourism halal di Pavilion Malaysia, World Expo Osaka 2025 di Osaka, Jepun hari ini.

Kolej UNITI Port Dickson lancar pakej edutourism halal di Osaka World Expo 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kolej UNITI Port Dickson mencipta sejarah tersendiri apabila melancarkan lima pakej edutourism halal bertaraf antarabangsa sempena Osaka World Expo 2025 di Jepun, hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Ketua Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson, Amir Hamzah Md Isa di Pavilion Malaysia, sekali gus mengangkat nama institusi pendidikan tinggi itu ke peringkat global.

Menurut Amir Hamzah, pelancaran ini adalah titik tolak kepada pencapaian besar kolej itu selepas secara rasmi dilantik sebagai Rakan Sepadan Program Edutourism oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada 30 Jun lalu.

“Kami amat berbesar hati apabila kesemua lima pakej edutourism halal yang dibangunkan telah mendapat kelulusan daripada pihak KPT. Ini membuktikan komitmen kami dalam memperkasakan pelancongan pendidikan bertaraf antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Turut hadir pada pelancaran itu ialah Pengarah Pusat Kecemerlangan Halal Kolej UNITI (UNITI Halal Center – UHAC), Muhamad Elyas Harun.

Jelas Amir Hamzah, Jepun dipilih sebagai lokasi pelancaran kerana negara Matahari Terbit itu menunjukkan permintaan tinggi terhadap pelancongan berteraskan pendidikan, khususnya yang menepati prinsip halal.

“Langkah ini juga dilihat sebagai simbolik keterbukaan dan kesediaan Kolej UNITI Port Dickson dalam menyahut cabaran kerajaan memperkenalkan program edutourism yang berkualiti dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

“Komitmen ini turut seiring dengan usaha KPT melalui Bahagian Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi yang giat memperkasa ekosistem edutourism sebagai salah satu strategi menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau yang menarik kepada pelajar dan pelancong global,” katanya.

Antara lima program edutourism halal yang diluluskan KPT ialah Halal Hospitality Unveiled: Culinary Experience to Cultural Values; Halal Bites & Sights: A Malaysian Adventure; Halal Livestock: From Farm to Fork; Halal Biz: Go Global, Grow Big! dan Adat Perpatih Heritage Journey: Exploring Negeri Sembilan’s Cultural Legacy.

Katanya, kesemua pakej ini menyasarkan bukan sahaja pelajar antarabangsa, malah pelancong luar negara yang ingin memahami keunikan budaya Malaysia dan industri halal secara mendalam.

Sementara itu, Muhamad Elyas menjelaskan bahawa pasaran Jepun mempunyai potensi besar, terutamanya dengan peningkatan kesedaran terhadap keperluan produk dan perkhidmatan halal dalam kalangan penduduknya.

“Permintaan terhadap pelancongan halal semakin meningkat, dan Jepun menjadi destinasi strategik untuk mempromosikan nilai-nilai ini melalui pendekatan pendidikan dan budaya,” katanya yang memainkan peranan penting dalam pembangunan dan penyelarasan program edutourism halal berkenaan.

Beliau berkata, kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, pemain industri halal dan rakan strategik antarabangsa amat penting dalam memastikan kejayaan program edutourism ini.

Osaka World Expo 2025 yang bertemakan Designing Future Society for Our Lives merupakan pameran berskala mega yang menghimpunkan lebih 150 negara dari seluruh dunia.

Acara berprestij itu menjadi platform penting bagi negara-negara mempamerkan inovasi, budaya, pendidikan dan teknologi, sekali gus membuka peluang kerjasama pelbagai sektor di peringkat global.

Maklumat lanjut mengenai program edutourism halal Kolej UNITI Port Dickson boleh diperolehi melalui laman web rasmi UHAC di https://unitihalalcentre.com/edutourism. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI