ISTANBUL, Turkiye – Malaysia dan Turkiye terus memperkukuh jalinan kerjasama dalam bidang pertahanan, sekali gus dilihat berupaya membuka ruang lebih baik bagi meningkatkan aspek ketenteraan antara kedua-dua negara.
Pengukuhan kerjasama itu dibuat menerusi pertemuan empat mata antara Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Pertahanan Nasional Turkiye, Yasar Guler sempena Pameran Industri Pertahanan Antarabangsa (IDEF) 2025 di sini.
Mohamed Khaled berkata, pertemuan itu turut memberi fokus kepada perbincangan mengenai kerjasama wajar dalam bidang ketenteraan dan pertahanan yang perlu dilaksanakan kedua negara.
“Kita sedia maklum bahawa kerjasama dalam bidang pertahanan dan ketenteraan itu meliputi soal seperti mewujudkan hubungan kedua pihak agar dapat berkongsi mengenai perkara yang menjadi perhatian dan cabaran bersama.
“Ia lebih kepada soal diplomasi pertahanan iaitu pendekatan bagi memastikan kita dapat mewujudkan persefahaman dan mengelakkan konflik,” katanya pada sidang akhbar di sini tadi.
Mohamed Khaled berkata, pertemuan itu turut membincangkan mengenai penghantaran pegawai dan anggota untuk mengikuti program di Turkiye.
“Ini termasuklah soal untuk memberi tempat kepada pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk mengikuti latihan juruterbang dan sebagainya,” katanya.
Dalam pada itu, menurut beliau, kedua-dua negara turut menekankan aspek perkongsian strategik dan kerjasama termasuklah dalam industri pertahanan, pembangunan ketenteraan serta pengukuhan hubungan jangka panjang.
“Turkiye turut mencadangkan perkongsian strategik jangka panjang yang memberi tumpuan kepada pengeluaran tempatan, pembangunan bersama, pendidikan dan pemindahan teknologi.
“Kerjasama itu akan berasaskan kepada kemampanan dan manfaat bersama yang mana Malaysia-Turkiye akan terus meneroka bidang spesifik bagi tujuan tersebut,” katanya.
Menurut Mohamed Khaled, Malaysia dan Turkiye turut optimis untuk membentuk
perjanjian kerjasama lebih berstruktur dan dinamik, seterusnya membolehkan industri pertahanan negara terus mengukuh.
Terdahulu, Mohamed Khaled tiba di Istanbul pada Selasa bagi memulakan lawatan kerja rasmi selama tiga hari yang mana antaranya bagi meninjau perkembangan pembinaan tiga buah Kapal Misi Pesisir (LMS) batch kedua milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). – KOSMO! ONLINE