fbpx
Sebahagian bot yang menjadi pengangkutan utama penduduk Pulau Aur untuk ke tanah besar Mersing.

‘Kami semua B40, bukan orang kaya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MERSING – Penduduk Pulau Aur di sini, merayu kepada pihak berwajib agar perkhidmatan bot ke pulau itu diberikan secara percuma memandangkan tambang ke situ terlalu mahal.

Rata-rata penduduk mengeluh apabila terpaksa membelanjakan sehingga RM220 seorang bagi perjalanan pergi dan balik dari sini ke pulau itu.

Hatasa Rabudin, 40, berkata, dia menetap di Mersing, manakala ibu bapanya menetap di pulau itu dan kos tambang yang tinggi menjadi punca dia jarang pulang ke kampung.

“Kalau pergi balik seorang RM220, cuba kira kalau satu keluarga ada lima orang? Itu belum masuk makan dan perbelanjaan lain. Nak balik pun kena kumpul duit dulu.

“Pada musim perayaan pernah kami mengeluarkan wang sehingga mencecah RM7,000 hanya untuk sewa feri, kami pakat dengan semua saudara-mara yang mahu ke balik pulau kongsi duit sewa sebuah terus.

“Kami di sini semua kategori B40. Tak ada orang kaya pun. Kalau di darat ada bas percuma, buatlah bot percuma juga untuk penduduk di pulau ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Berhala, Pulau Aur, Mersing di sini baru-baru ini.

Hatasa berkata, keperluan ulang-alik ke tanah besar bukan hanya untuk beraya, tetapi juga untuk rawatan kesihatan berkala.

“Macam ayah saya, tiga bulan sekali kena ke hospital untuk periksa darah tinggi, tapi siapa nak beri duit tambang? Klinik di sini pun cuma ada jururawat. Doktor tak ada,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Pulau Aur, Sabinah Md. Seth berkata, permintaan supaya tambang bot disubsidikan adalah wajar memandangkan rata-rata penduduk bergantung kepada hasil laut dan pertanian kecil-kecilan.

“Majoriti di sini adalah nelayan dan petani. Tiada pendapatan tetap. Kos bot pergi balik RM220 satu kepala itu memang membebankan,” jelasnya.

Pulau Aur yang terletak kira-kira dua jam perjalanan bot dari jeti Mersing merupakan antara pulau paling jauh di Johor dan sering terputus hubungan terutama ketika musim tengkujuh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI