fbpx
Gambar hiasan.

Ganja sintetik bahan terlarang utama dikesan dalam cecair vape

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ganja sintetik merupakan bahan terlarang utama yang dikesan Jabatan Kimia Malaysia terhadap rampasan cecair vape oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

Pengarahnya, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ganja sintetik yang dikesan adalah seperti MDMB-4en-PINACA dan analognya selain pencampuran dadah stimulan seperti methamphetamine dan methylenedioxy-methamphetamine.

“Ini menunjukkan modus operandi yang semakin lazim iaitu mencampurkan bahan kimia psikoaktif ke dalam cecair vape.

“Terdapat juga kes pencampuran dadah stimulan yang amat membimbangkan kerana memperkenalkan bentuk penyalahgunaan baharu melalui peranti elektronik ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Hussein, majoriti kes mengesahkan kewujudan dadah terlarang membuktikan bahawa penyalahgunaan vape sebagai medium penghantaran dadah adalah nyata dan perlu ditangani secara serius.

Sementara itu, Hussein berkata, JSJN telah mengambil langkah proaktif dengan menjalankan risikan berhubung dakwaan vape ‘magic mushroom’ di seluruh negara.

Katanya, berdasarkan rekod rampasan cecair vape dari tahun 2024 hingga Mac tahun ini, sebanyak 64 kes direkodkan sepanjang tahun 2024.

“Dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini (sehingga Mac), sebanyak 32 kes dicatatkan menunjukkan peningkatan purata bulanan yang ketara berbanding tahun sebelumnya.

“Hasil analisis Jabatan Kimia terhadap data rampasan cecair vape oleh JSJN dalam tempoh tersebut menunjukkan trend peningkatan,” ujarnya.

Terdahulu, Hussein mengesahkan tiada istilah ‘dadah magic mushroom’ dalam cecair vape seperti dakwaan tular sebelum ini.

Beliau berkata dakwaan tular mengenai cendawan kering atau titisan cecair halusinogen semulajadi adalah tidak tepat malah ia merupakan manipulasi oleh pengedar yang melabelkan bahan sintetik sebagai ‘cendawan ajaib’.

Tegas Hussein lagi, masyrakat perlu merujuk kepada maklumat sahih daripada sumber rasmi seperti kenyataan polis, Agensi Antidadah Kebangsaan atau agensi kesihatan.

“Elakkan menyebarkan berita tular tanpa pengesahan kerana ia boleh mencetuskan panik tidak berasas,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN