PUTRAJAYA – Jangan memandang remeh bantuan tunai tambahan sebanyak RM100 kepada warga Malaysia berumur 18 tahun ke atas menerusi program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah itu mungkin dianggap kecil bagi yang berpendapatan tinggi, tetapi amat bermakna kepada rakyat luar bandar dan golongan berpendapatan rendah.
“Ada yang kata RM100 saja. Kamu yang bergaji RM20,000, RM40,000, RM100 itu tak apalah. Tetapi saya tahu, kalau pergi ke kampung. Jadi jangan remehkan.
“Kerajaan tambah peruntukan sedia ada iaitu RM13 bilion kepada RM15 bilion,” katanya pada Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan Bersama Perdana Menteri dan Menteri Kewangan di sini hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bantuan tunai itu malah boleh mencecah RM400 dan meningkat sehingga RM700 dicampur dengan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi sebuah keluarga miskin mempunyai dua anak dewasa dan pasangan suami isteri.
Mengulas penurunan RON95 kepada RM1.99 seliter serta pengekalan kadar tol, Anwar berkata, langkah itu memanfaatkan golongan M40 yang paling ramai menggunakan kenderaan serta melalui jalan bertol.
Dalam masa sama, Perdana Menteri menyelar pembangkang berhubung rasionalisasi subsidi petrol.
“Bebankan warga asing… Saya rasa aneh apa yang kamu buat? Kita tak beri subsidi sebab di negara dia (asing) harga minyak lebih tinggi daripada RM2.50.
“Singapura,Thailand, Indonesia semua lebih tinggi. Kita tarik subsidi itu kepada warga asing pun salah juga,” katanya. – KOSMO! ONLINE