fbpx
SENIWATI Fauziah Ahmad Daud dipilih sebagai pengetua dibantu Isabella Soliano (vokal) dan Azmie Z. Abdden (koreografer).

APS 2025 tawar biasiswa Aswara, ‘terbang’ ke Korea Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENGHIMPUNKAN peserta dari seluruh Asia, program realiti muzik terbesar Asian Pop Stars (APS) 2025 bakal mencipta fenomena apabila melahirkan bintang bertaraf dunia dari benua ini khususnya Malaysia.

Lebih menarik, bukan hanya pemenang, malah kesemua lapan finalis diberi peluang menjalani persiapan khas di Korea Selatan untuk mengekalkan momentum bergelar penghibur. selepas pertandingan berakhir.

Pengerusi Pertubuhan Generasi Digital Malaysia (PGDM), Datin Seri Dr. Harnie Mohamed berkata, kesemua finalis akan menerima biasiswa pengajian seni persembahan selama sebulan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan dua bulan di Korea Selatan. 

“Kami di PGDM berbesar hati dan menyahut cabaran untuk menganjur dan menerbitkan pertandingan ini dalam usaha mencari bakat yang mampu bergelar bintang bertaraf dunia.

“Lebih teruja, ini kali pertama buat kami dan julung kali juga sebuah NGO menganjur dan menerbitkan pertandingan realiti seumpama ini di negara kita.

APS 2025 menawarkan lapan finalis menjalani persiapan khas di Korea Selatan untuk mengekalkan momentum bergelar penghibur.

“Bahkan kami yakin Asian Pop Stars mampu merapatkan lagi hubungan serantau terutama dalam arena hiburan,” katanya pada majlis pelancaran APS 2025 di Aswara, baru-baru ini.

Dr. Harnie berkata, program ini bakal menghimpunkan 20 peserta berbakat dari seluruh Asia yang akan melalui latihan intensif dan persembahan mingguan selama lima minggu.

Minggu pertama hingga ketiga menyaksikan persembahan tanpa penyingkiran, diikuti minggu keempat yang menjadi fasa kritikal apabila 12 peserta disingkirkan. 

Ini menjadikan seramai lapan finalis bakal berentap pada konsert akhir pada 3 Januari 2026 yang dijangka berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Pengetua

Pada majlis sama, seniwati Fauziah Ahmad Daud atau Ogy diumumkan sebagai pengetua dan dibantu dua tenaga pengajar iaitu Isabella Soliano (vokal) dan Azmie Z. Abdden (koreografer).

Menurut Fauziah, beliau berbesar hati dibantu dua personaliti muzik berkredibiliti tinggi dalam pertandingan nyanyian yang pastinya sarat warna apabila turut disertai calon seluruh Asia.

“Isabella Soliano selaku guru vokal berpengalaman, manakala Azmie pula koreografer disegani ramai sekali gus pemilihan mereka menjadi penanda aras tahap profesionalisme pertandingan ini,” ujarnya.

APS 2025 bakal memulakan siaran langsung setiap Sabtu malam bermula 29 November 2025 di saluran nasional RTM, bermula pukul 9 malam hingga 11.30 malam.

Juara bakal membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai AS$ 20,000 (RM85,000), piala pusingan dan sijil pengiktirafan.

Selain persembahan, peserta akan menyertai penjelajahan khas Cuti-Cuti Malaysia selama sembilan hari sempena promosi Tahun Melawat Malaysia 2026.

Maklumat lanjut berhubung APS 2025 boleh didapati menerusi platform sosial media @asian.pop.stars dan laman web https://asianpopstars.asia. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI