fbpx
Gambar hiasan.

Adakah berkesan jika golongan mahakaya pun dapat RM100?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat mencadangkan kerajaan supaya menilai semula pemberian RM100 secara one-off yang diumumkan Perdana Menteri semalam kepada individu yang benar-benar layak dan memerlukan.

Pengerusinya, L. Francis berkata, kerajaan seharusnya menilai semula latar belakang penerima bukannya disalurkan secara menyeluruh khususnya kepada golongan mahakaya.

Katanya, pelaksanaan sistem agihan bantuan yang lebih bersasar sememangnya memberi manfaat berganda kepada golongan memerlukan, sekali gus membuktikan Kerajaan Madani berjiwa rakyat.

“Kami tidak pertikaikan pengumuman bantuan RM100 secara one-off kepada setiap warganegara berusia 18 tahun ke atas kerana memang ada rakyat yang benar-benar memerlukan.

“Jumlah itu juga dianggap bermakna buat rakyat ketika ini. Tapi persoalannya adakah berkesan sekiranya RM100 itu diberikan kepada semua termasuk golongan mahakaya?

“Daripada beri RM100 kepada semua, lebih baik jika ditumpukan kepada golongan yang benar-benar memerlukan. Ini kerana nilai RM100 yang bakal diberikan itu tidak mencukupi untuk menampung keperluan asas kebanyakan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, kerajaan seharusnya menilai semula pendekatan dalam menyalurkan bantuan pada masa akan datang agar lebih tertumpu kepada golongan yang layak dan berdepan tekanan kewangan.

Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa inisiatif sebagai tanda penghargaan Kerajaan Madani kepada rakyat.

Ini termasuklah pemberian RM100 secara one-off di bawah Program Sumbangan Asas Rahmah, penangguhan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya dan subsidi harga petrol RON95 iaitu RM1.99 seliter. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN