JOHOR BAHRU – Seramai 223 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan kerana bekerja secara haram di sebuah tempat pemprosesan dan pembinaan struktur bahan petrokimia terbesar di Pasir Gudang, di sini kelmairn.
Pengarah Jabatan Imigresen Johor, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, kesemua warga asing yang ditahan dalam Ops Mahir itu berusia 21 hingga 63 tahun.
Katanya, operasi itu dilaksanakan hasil risikan pihaknya selepas menerima maklumat mengenai lambakan warga asing yang bekerja tanpa permit atau pas yang sah di lokasi tersebut.
“Seramai 664 warga tempatan dan asing diperiksa. Tangkapan dibuat melibatkan 129 lelaki China, wanita China (4), Bangladesh (84) dan masing-masing dua lelaki Indonesia, Pakistan serta Nepal.
“Turut ditahan seorang lelaki dan wanita tempatan yang merupakan pengurus dan pegawai sumber manusia di tapak projek tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Rusdi berkata, kesemua yang ditahan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki dan tinggal di negara ini tanpa pas atau permit yang sah.
Mereka turut melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c), Peraturan 11(7)(a) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 bagi kesalahan salah guna pas lawatan sosial serta Peraturan 39(b) kerana melanggar syarat pas.
“Dua warga tempatan pula ditahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen kerana melindungi warga asing,” katanya.
Sebanyak enam notis untuk hadir ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa dikeluarkan sepanjang operasi. Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Pekan Nenas, Pontian untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE