PETALING JAYA – Seorang pempengaruh, Zhiddin Aziz membidas sikap segelintir guru yang suka memuat naik kertas jawapan ujian murid Gen Z dan Alfa di media sosial kerana tindakan tersebut boleh mengundang unsur negatif terhadap pelajar.
Zhiddin berkata, generasi itu tidak patut dilabelkan sebagai lemah apabila mereka ini mengisi sekadar baris dalam mana-mana kuiz yang diberikan oleh tenaga pengajar.
“Murid dianggap lemah dalam memberikan jawapan, walhal itu adalah perkara lumrah. Generasi terdahulu juga pernah melakukannya, cuma bezanya, ia tidak dimuat naik ke media sosial.
“Apa yang membezakan generasi sebelum ini hanyalah tiadanya guru yang menularkan perkara sedemikian. Saya berpendapat, perkara ini sepatutnya diselesaikan dalam bilik darjah sahaja bagi mengelakkan ia berulang. Jika tidak, pelajar akan berasa bangga melakukannya,” katanya.
Tambah Zhiddin, netizen bukan mendidik, sebaliknya lebih cenderung mengherdik sehingga tertanam dakyah bahawa Gen ‘Z’ rapuh dan lemah, sedangkan hakikatnya mereka kuat buktinya, mereka lahir dan membesar dalam zaman yang penuh cabaran dan hiburan.
“Kalau mahu ikutkan pada zaman saya lebih banyak kelas tambahan dan ujian memaksa untuk kita bertahan. Jadi, kalau mahu buat perbandingan, boleh dikatakan zaman mereka lebih kuat kerana perlu hidup dan hadap bermacam godaan,” jelasnya.
Menurutnya, nasihat yang dilontarkan itu bukan untuk meluahkan kemarahannya, namun kerana bimbang akan generasi tersebut benar-benar jadi lemah dan hilang keyakinan diri.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata ramai orang memuji tindakan pempengaruh itu yang memberi nasihat kepada golongan pendidik, malah ada juga yang meninggalkan komen positif.
“Betul.. Benda ini dari dulu lagi cuma dulu tiada teknologi sahaja. Benda ini tidak boleh dikaitkan dengan generasi tetapi sikap individu itu sendiri,” komen @Wak.
“Ada bakat saudara dalam berkata-kata walaupun masih muda. Kagum pakcik dengar. Ya Allah, jadikan saudara ini faqih dalam agama, alim takwil, sentiasa di jalan lurus, tergolong dalam golongan nabi rasul, siddiqin, syuhada, solehin. Amiin. Teruskan berbuat baik,” komen @Zim.
“Saudara cakap ada skrip ke, sangat tersusun kata-katanya sangat kemas, saya cikgu pun tidak boleh cakap macam ni mesti ada gagap juga,” balas @AbuNaura. – KOSMO! ONLINE
@zhiddinazizz♬ original sound – zhiddinaziz