WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan semalam bahawa beliau mencapai perjanjian perdagangan dengan Filipina untuk menetapkan tarif 19 peratus ke atas import negara itu, lapor Perbadanan Penyiaran Briain (BBC).
Pengumuman itu dibuat susulan pertemuan rasmi Trump bersama Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. di White House.
Dalam hantaran di media sosial, Trump berkata, tarif terbaharu itu adalah sebahagian daripada perjanjian lebih meluas. Ia akan menyaksikan Filipina menghapuskan duti ke atas barangan AS, selain kedua-dua negara bakal bekerjasama secara ketenteraan.
“Ia adalah lawatan yang menarik dan kami telah mencapai perjanjian perdagangan,” kata Trump tanpa menghuraikan lebih lanjut mengenai perjanjian itu.
Trump kembali mengenakan tarif baharu tinggi yang akan berkuat kuasa pada 1 Ogos ini ketika pasaran dan ekonomi AS telah stabil dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Dalam surat yang dihantar ke Filipina bulan ini, Trump mengenakan tarif 20 peratus ke atas barangan negara itu, meningkat daripada kadar 17 peratus yang ditetapkan April lalu.
Filipina bagaimanapun merupakan rakan dagangan AS yang agak kecil, dengan mengeksport pelbagai barangan bernilai AS$14.2 bilion (RM60 bilion) ke Washington tahun lepas.
Antara barangan eksport itu termasuk alat ganti kereta, jentera elektrik, tekstil dan minyak kelapa. – AGENSI