KOTA BHARU – Tiada tempat untuk sebarang kegiatan atau gaya hidup budaya songsang Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) di bumi Kelantan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, pelbagai reaksi di media sosial berkaitan isu perjumpaan gay di sebuah banglo di Kemumin, Pengkalan Chepa di sini sini tengah bulan lalu mencerminkan sudut positif rakyat Kelantan terhadap isu berkenaan.
“Apabila berlaku di negeri ini, ia menjadi isu besar. Jika di tempat lain barangkali ia tidak menjadi isu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, perjumpaan kumpulan songsang di sebuah banglo di Kemumin, Pengkalan Chepa di sini pada 17 Jun lalu tiada penglibatan atau penganjuran daripada badan rasmi seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), klinik kesihatan atau Kementerian Kesihatan (KKM)
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat menegaskan, tiada sebarang maklumat yang menunjukkan program itu mendapat kelulusan atau pemantauan daripada mana-mana pihak berautoriti. – KOSMO! ONLINE