MELAKA – Seorang lans koperal cedera dalam aksi mengejar pasangan kekasih yang memecut kenderaan sejauh 13 kilometer (km) bagi meloloskan diri selepas membawa dadah jenis heroin di Taman Bukit Rambai, lewat petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, suspek lelaki berusia 26 tahun dan kekasih 28 tahun diberkas selepas dikepung empat Unit Kereta Peronda (MPV) dan pasukan petugas khas (task force) Tengkera.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek yang menaiki Perodua Myvi dikesan mula memecut kenderaan dari Pangsapuri Taman Anika sehingga ke Taman Bukit Rambai.
“Semasa dikejar, suspek telah memandu secara melulu dan tidak berhenti semasa melalui lampu isyarat merah serta membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
“Tiba di Jalan Teruna 1, Taman Bukit Rambai suspek telah mengundurkan kereta dan melanggar anggota unit rondaan bermotosikal (URB) berpangkat Lans Koperal sehingga mengalami kecederaan ringan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Ujarnya, suspek kemudian telah dikepung oleh pasukan MPV dan pemeriksaan ke atas kenderaan menjumpai dua peket lut sinar yang dipercayai mengandungi dadah jenis heroin dengan berat kasar 15.06 gram serta alat penimbang.
“Bagaimanapun kita percaya pasangan ini bukan tokan dan dadah tersebut adalah bagi kegunaan diri sendiri.
“Ujian saringan air kencing dilakukan ke atas pasangan tersebut didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Ujarnya, suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas polis, Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana mencederakan anggota dan 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE