KUALA LUMPUR – Seorang pesara wanita berputih mata apabila kerugian wang tunai dan barang kemas selepas menjadi mangsa sindiket penipuan nombor ramalan di Setapak di sini bulan lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa, kejadian pada 27 Jun lalu berlaku selepas mangsa didatangi seorang wanita Indonesia yang berpura-pura meminta bantuan menunjukkan jalan ke premis nombor ramalan.
“Mangsa kemudian diajak menaiki sebuah kereta berwarna hitam yang dipandu lelaki Indonesia. Dalam kereta itu, terdapat dua lelaki dan dua wanita Indonesia,” katanya pada sidang akhbar di Menara KPJ di sini hari ini.
Rusdi berkata, mangsa kemudian dipujuk untuk menyerahkan gelang emas dan kad bank miliknya.
Wanita berusia 63 tahun itu dijanjikan menerima pulangan RM15,000 hasil kemenangan nombor ramalan.
Katanya, kumpulan itu berhenti di sebuah bank berdekatan dan mengeluarkan RM500 wang milik mangsa sebelum melarikan barang kemas dan meninggalkan wanita tersebut.
“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas suspek tidak kembali seperti dijanjikan.
“Hasil siasatan, kita berjaya memberkas tujuh individu dalam enam serbuan di Lembah Klang pada 4 Julai lalu.
“Empat suspek utama didakwa di mahkamah pada 22 Julai lalu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Tiga warga Indonesia turut didakwa di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Dengan kejayaan itu, pihaknya dapat menyelesaikan 15 kes penipuan yang dilaporkan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Pahang, Selangor, Johor dan Negeri Sembilan membabitkan kerugian RM199,243. – KOSMO! ONLINE