SUBANG JAYA – Penilaian polisi indeks jisim badan (BMI) akan menjadi antara indikator sokongan dalam pembangunan kerjaya anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Panglima TUDM, Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, ia selaras dengan aspirasi membentuk anggota yang sihat, cergas dan berdisplin.
Menurutnya, perkara itu merupakan salah satu aspek dalam enam tonggak utama yang digariskan.
“Saya memandang serius isu berat badan berlebihan dalam kalangan anggota dan pendekatan ini bukan bersifat hukuman, tetapi galakan kepada gaya hidup sihat dan profesionalisme ketenteraan.
“Program kecergasan anggota akan diperkasa secara berfasa bermula pada tahun ini dengan pendekatan inklusif dan bersesuaian dengan peringkat umur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Perintah Ulung Panglima TUDM ke-21 di Pangkalan Udara Subang, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Muhamad Norazlan berkata, pendekatan beliau sebagai Panglima TUDM ke-21 adalah untuk meneruskan kecemerlangan TUDM bersama seluruh warga udara.
“Pelaksanaan Pelan Pembangunan Keupayaan 2055 (CAP55) mesti dilaksana dengan kefahaman keperluan bagi menyokong penyediaan keupayaan domain udara bagi angkatan masa hadapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” ujarnya.
Beliau berkata, TUDM perlu mencapai keupayaan dan kesiagaan tertinggi dengan mengambil iktibar daripada peperangan moden antara Russia-Ukrain, Iran-Israel serta India-Pakistan.
“Kita perlu memastikan pemantauan berkala yang berterusan terhadap sembilan sasaran strategik dan tujuh program utama CAPP55 mengikut garis masa yang ditetapkan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE