PETALING JAYA – Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan menyifatkan pengumuman Perdana Menteri sebagai cerminan komitmen Kerajaan Madani dalam membela nasib semua kaum tanpa mengira latar belakang.
Beliau berkata, inisiatif yang diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti bantuan tunai, subsidi bersasar, pelaburan tinggi dan pengurangan kos sara hidup membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan rakyat pelbagai peringkat termasuk masyarakat India.
“Nandri PM (Terima kasih PM), ini satu pengumuman yang penting dan tepat pada masanya,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, pemberian Sumbangan Asas Rahman (Sara) sebanyak RM100 secara one-off kepada warganegara berusia 18 tahun ke atas melalui MyKad dengan jumlah peruntukan RM15 bilion pada 2025 menunjukkan usaha kerajaan membantu rakyat secara menyeluruh.
Naib Presiden PKR itu berkata, pelaksanaan inisiatif Sejahtera Madani yang melibatkan kerjasama kerajaan dan sektor korporat memberi sinar harapan dalam menangani kemiskinan tegar, termasuk masyarakat bandar dan luar bandar.
“Kerajaan turut menunjukkan keberanian apabila menangguhkan kenaikan kadar tol dan menurunkan bil elektrik untuk majoriti rakyat,” ujarnya.
Jelasnya, keputusan mempercepat pengisian lebih 4,000 jawatan dalam sektor kesihatan termasuk doktor kontrak dan kenaikan kadar gaji minimum kepada RM1,700 mulai bulan hadapan turut memberi impak besar kepada belia dan pekerja industri.
Dalam masa sama, katanya, kejayaan kerajaan menarik pelaburan tertinggi dalam sejarah negara berjumlah RM384 bilion pada 2024 membuktikan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.
Beliau turut memuji pencapaian negara yang melonjak ke kedudukan ke-23 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2025 sebagai bukti kemajuan dasar ekonomi Madani.
“Ini semua adalah manifestasi pendekatan inklusif dan adil kerajaan dalam memastikan kemakmuran dapat dikongsi bersama,” katanya.
Oleh itu, beliau menyeru rakyat agar terus menyokong agenda pembaharuan yang dibawa Kerajaan Madani demi kesejahteraan rakyat, kelestarian ekonomi dan perpaduan nasional.- KOSMO! ONLINE.