KUALA TERENGGANU – Seorang doktor sebuah klinik kesihatan yang dalam perjalanan pulang daripada bermain futsal maut selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Kampung Undang di sini malam tadi.
Dalam kemalangan pada pukul 11 malam itu, Muhammad Hariz Hashim, 35, mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala serta beberapa anggota badan dan disahkan meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini kira-kira setengah jam kemudian.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, Muhammad Hariz dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Bukit Bayas Indah di sini.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan pelbagai guna jenis Perodua Alza dinaiki mangsa dikatakan tiba-tiba kawalan lalu terbabas ke bahu jalan.
“Kenderaan itu kemudiannya merempuh sebuah stor penyimpanan tong gas memasak,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE